Muhamad Fasal Jamlus (kanan) menyantuni kaum India dari rumah ke rumah di Kampung Damak, Jerantut, Pahang.

JERANTUT – Hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang dapat membela semua kaum atau etnik serta mengotakan setiap janjinya kepada rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Muhamad Fasal Jamlus berkata, sejak dari dulu lagi BN tidak pernah meminggirkan kaum-kaum minoriti sama ada dari segi pendidikan, kebajikan, kemudahan awam dan banyak lagi.

Ekoran itu, katanya, rakyat harus mengakui pembelaan BN itulah menyebabkan rakyat berbilang kaum bukan sahaja dapat hidup aman damai malah meraikan perayaan agama masing-masing tanpa halangan.

“Kita tidak pernah pinggirkan kaum minoriti. Tanpa kita sedar selama ini kita hidup aman damai dalam negara ini,” katanya ketika berkempen dari rumah ke rumah di Kampung Muhibbah di dalam DUN Damak hari ini.

Kampung Muhibbah yang dihuni lebih 40 keluarga didiami pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Cina.

Muhamad Fasal berkata, kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di DUN Damak sentiasa mengutarakan pembelaan kepada semua kaum dan menjanjikan tiada kaum yang tercicir atau terpinggir.

“Dasar BN sejak azali ialah membela semua kaum. Langkah ini membawa kepada keharmonian,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Fasal tidak menghadapi masalah untuk menyantuni masyarat India yang majoritinya tinggal di Kampung Muhibbah.

“Saya sendiri mempunyai kawan-kawan yang tinggal serta membesar di Kampung Muhibbah.

“Begitu juga dengan masyarakat Cina yang tinggal di bandar Jerantut, saya sering memenuhi jemputan mereka,” katanya.

Pertembungan empat penjuru melibatkan Mohamad Rafly Mohd. Satar (PH), Izzuddin Ismail (Bebas) dan penyandang kerusi DUN berkenaan, Zuridan Mohd. Daud (Pas) melibatkan jumlah pengundi 34,967 orang.

Pada PRU 14 yang lalu, Zuridan menang dengan majoriti 1,456 undi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast