Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah boleh keluar mengundi dan hukumnya harus.

Bagaimanapun Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menjelaskan, wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah perlu mematuhi beberapa syarat antaranya menjaga penampilan dan adab dalam berkabung.

Wanita tersebut juga perlu menjauhi perkara-perkara yang mengundang fitnah; mengelakkan berhias dengan memakai gelang atau rantai; tidak memakai wangian dan menghias wajah secara berlebihan.

Wan Zahidi turut mengingatkan, wanita berkenaan dikehendaki menyelesaikan segala keperluan urusan (mengundi) pada kadar segera.

Dia juga tidak boleh sengaja melewat-lewatkan urusan berkenaan serta perlu berada dan bermalam di rumahnya.

“Proses mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 merupakan suatu kewajipan yang perlu dilakukan sendiri tanpa boleh diwakili pihak lain.

“Di samping itu ia termasuk dalam kategori wajib mudayyaq iaitu kewajipan yang mesti dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan oleh kerana tempoh mengundi adalah terhad dengan tempoh masa yang ditentukan dan tidak boleh ditangguhkan pada masa lain.

“Maka Jabatan Mufti Negeri Perak berpandangan harus hukumnya bagi wanita yang dalam ‘iddah keluar mengundi dengan mematuhi beberapa dhowabit (parameter),” katanya menerusi Irsyad (panduan) Hukum Bil.32 JPNPk yang disiarkan di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak, hari ini.

Untuk makluman, ‘iddah adalah tempoh tertentu bagi seorang wanita menunggu sehingga selesai tempohnya semata-mata mematuhi perintah Allah SWT atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan dan wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh idah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast