Penyokong, Nur Farah Adriana membaca buku Peluncuran Tawaran Harapan ‘Kita Boleh’ selepas Majlis Pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh di Hotel Wyndham Acmar Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 NOVEMBER 2022.

Artikel ini ditulis oleh pembaca Malaysia Gazette

DALAM banyak perkara yang ditawarkan oleh semua parti dan gabungan dalam manifesto mereka, ada dua perkara yang pada saya menarik dan penting untuk diberikan perhatian. Kedua-duanya dari Pakatan Harapan (PH).

Pertama, selepas ini semua cubaan tindakan oleh sesiapa sahaja sudah tidak lagi menjadi satu kesalahan.

Pada muka surat 48 buku manifesto PH, Kita Boleh, gabungan tersebut berhasrat meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi memastikan yang selepas ini, sebarang percubaan membunuh diri oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama sudah tidak lagi menjadi kesalahan.

Rasionalnya, mereka yang berdepan dengan gangguan emosi dan mental memerlukan sokongan masyarakat, bukannya dihukum.

Pasti ramai yang akan melihat isu ini dari segi konflik moral dan budaya. Biar apa pun pandangannya, yang pasti inilah yang akan PH lakukan jika diberikan kuasa.

Apa yang lebih menarik adalah untuk melihat implikasi tersirat perkara tersebut dari sudut undang-undang.

Implikasi pertama merujuk kepada ketidakupayaan kita untuk mewajibkan rawatan.

Dengan meminda seksyen tersebut, ini turut bermakna yang mahkamah atau mana-mana institusi undang-undang atau perubatan, tidak mempunyai sebarang hak dan kuasa untuk memerintah atau mengarah mereka yang telah mencuba membunuh diri untuk mendapatkan rawatan. Ini kerana, percubaan mereka membunuh diri bukanlah satu kesalahan.

Ringkasnya, ‘anda tidak boleh mengarahkan saya untuk menguruskan badan apabila obesiti bukan satu kesalahan’.

Kita lihat contoh perbandingan dalam konteks undang-undang. Jika seseorang penagih dadah itu dibicarakan dan didapati bersalah, ia boleh diarahkan/dihantar ke pusat serenti untuk menjalani rawatan. Ini kerana, ketagihan dadah itu adalah satu kesalahan undang-undang.

Jadi, mahkamah boleh dan mempunyai kuasa mengarahkan individu tersebut, sebagai sebahagian daripada proses hukuman, dihantar ke pusat serenti.

Perintah yang mewajibkan rawatan di pusat serenti boleh dibuat kerana ia mempunyai asas dan peruntukan undang-undang. Namun, sekiranya ketagihan dadah bukan lagi satu kesalahan, mahkamah atau mana-mana pihak tidak boleh mengarahkan penagih untuk dimasukkan ke pusat rawatan.

Implikasi kedua lebih bersifat jangka panjang.

Jika kita menjadikan ‘gangguan mental dan emosi’ sebagai alasan menjadikan sesuatu tindakan itu sebagai ‘bukan jenayah/kesalahan’, adalah tidak mustahil pemikiran seperti ini akan turut digunakan untuk mendesak agar pelbagai tindakan lain (yang sekarang ini adalah jenayah) tidak lagi dijadikan kesalahan.

Misalnya, tuntutan atau desakan agar ketagihan dadah atas alasan gangguan mental dan emosi, tidak lagi menjadi satu kesalahan. Atau memandu secara mabuk / di bawah pengaruh dadah akibat gangguan mental dan emosi, bukan lagi satu kesalahan.

Tidak mustahil desakan sebegini akan lama-kelamaan muncul.

Kedua: pemansuhan AUKU dan memastikan pensyarah akan turut memikul tugas mentadbir dan mengurus universiti.

Pada muka surat 56 dokumen Kita Boleh, PH akan turut memastikan yang AUKU dimansuhkan. Dalam hal ini tidak dinyatakan rasional yang khusus. Namun, lanjutan kepada pemansuhan tersebut, PH merancang untuk memulangkan tugas mengurus tadbir universiti kepada pensyarah, selain kepada pelajar dan alumni.

Bagi pihak para pensyarah, ini adalah satu tugas dan tanggungjawab tambahan selain daripada tugas hakiki sedia ada.

Berbanding dengan pandangan sesetengah pihak yang melihat tugas pensyarah itu sebagai mudah dan sekadar mengajar, hakikatnya tidak begitu. Tugas hakiki pensyarah sekarang ini sebenarnya tidak tertakluk setakat mengajar.

Ia merangkumi tanggungjawab membuat kajian dan penyelidikan dalam menyediakan bahan mengajar, mengajar kuliah dan mengendalikan tutorial/seminar, menyediakan soalan ujian/peperiksaan, menanda skrip jawapan peperiksaan dan kerja tugasan serta memberi gred, merekodkan gred dan membuat penyelarasan yang sesuai, membuat penyelidikan berterusan dalam bidang masing-masing, menyertai seminar atau persidangan yang berkaitan, menulis artikel dan melakukan penyelidikan bagi tujuan penerbitan di dalam jurnal dan menguruskan sesi ‘consultation’ dengan pelajar.

Ini bermakna, selain tugas-tugas hakiki sedia ada ini, susulan pemansuhan AUKU seperti yang dituntut dalam manifesto PH, para pensyarah akan turut perlu memikul pelbagai rangkaian tanggungjawab tadbir urus lain.

Ini termasuklah, antara lainnya, menguruskan hal ehwal pentadbiran, memastikan isu-isu keselamatan kampus, mengurus penginapan dan kolej kediaman pelajar, mengurus penyelenggaraan dan aspek teknikal universiti, menyusun sumber manusia, mengendalikan pendaftaran dan kemasukan pelajar, menyusun penganjuran konvokesyen dan sudah tentulah memikul tanggungjawab dan tugas untuk mengusaha dan mencari dana serta menguruskan kewangan universiti.

Pelan untuk menyerahkan tugas dan tanggungjawab tadbir urus universiti kepada sekolah ini menyaksikan percanggahan/perbezaan pendirian yang sangat ketara dengan desakan yang mahukan kerja-kerja pentadbiran guru di sekolah dikurangkan / diminimumkan.

Adalah menarik untuk kita menyaksikan bagaimana semua ini akan akhirnya meningkatkan kecemerlangan dan kelancaran universiti. Sudah pastilah PH mempunyai alasan dan pandangan tersendiri.

Yang pasti, PRU-15 kali ini menyaksikan pelbagai idea dan cadangan menarik dari semua gabungan politik. Ada yang baharu, banyak juga yang berulang. Ada yang praktikal, ada yang terkeluar orbit.

Cuma, kalau diperhatikan sepanjang musim berkempen kali ini, PH sudah tidak menjadikan tawaran atau manifesto mereka sebagai fokus dalam ceramah-ceramah kempen. Hampir tidak ada yang merujuk dan membicarakan perkara tersebut.

Pastinya rakyat Malaysia teruja dan bersemangat untuk ke peti undi Sabtu ini. Marilah kita semua melunaskan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Semoga Malaysia mendapat yang terbaik. Negara ini harus segera keluar dari segala ketidakstabilan dan ketidaktentuan yang selama ini meruntun kita ke lembah kelesuan yang memualkan. Selamat mengundi. – MalaysiaGazette

 

Oleh:  Mohd Daud Mat Din, Felow Kanan, Bait Al Amanah