Gambar hiasan

UMUM telah mengetahui, rakyat Malaysia sekali lagi akan memilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia ke-15 pada 19 November ini. Kesemua 222 kerusi Parlimen bagi keanggotaan dalam Dewan Rakyat Malaysia akan dipertandingkan yang akan menyaksikan pertandingan beberapa parti politik utama negara. Turut dilangsungkan secara serentak adalah Pilihan Raya Negeri bagi beberapa buah negeri bagi mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Secara tradisinya, pemilihan Anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dijalankan serentak. Pilihan Raya Negeri kali ini hanya melibatkan beberapa negeri sahaja.

Seperti semua sedia maklum, pelbagai aktiviti kempen dan jelajah akan dirancang dan dilaksanakan setiap kali berlangsungnya pilihan raya. Pelbagai kaedah dan ragam para pemimpin dan penyokong parti politik yang bertanding dapat dilihat sepanjang tempoh berkempen dilangsungkan. Sudah pasti, suhu politik negara sebelum pembubaran parlimen dan DUN diputuskan akan banyak mempengaruhi perjalanan kempen parti politik terlibat. Berdasarkan kepada pemerhatian, kemudahan awam dan infrastruktur sedia ada kerap dijadikan sebagai alat atau tempat untuk melaksanakan kempen PRU. Umumnya, antara aktiviti kempen yang sering dilakukan adalah seperti mengadakan ceramah politik, pemasangan poster dan bendera parti yang bertanding.

Untuk mengawal aktiviti berkempen, sudah pasti pihak berkuasa telah meletakkan beberapa syarat penting yang perlu dipatuhi oleh parti yang ingin berkempen. Asasnya, setiap bahan-bahan kempen perlu mendapat kelulusan dan permit berkaitan bagi memastikan kepentingan awam yang berkait rapat dengan isu keselamatan dan keharmonian terpelihara dengan baik. Sebagai contoh, kawasan tumpuan seperti persimpangan utama jalan, bulatan jalan raya, hentian, kawasan landskap jalan sering dijadikan tempat untuk memasang bendera, poster dan kain rentang calon terlibat. Dalam keadaan yang ekstrem, terdapat juga bendera-bendera politik yang dipasang pada lampu jalan dan jambatan merentasi jalan.

Dari satu sudut, jelas ia menghidupkan suasana pesta berkempen meraih sokongan rakyat dan pengundi di kawasan terlibat. Namun, dalam masa yang sama terdapat potensi risiko lain yang boleh mengakibatkan kepada kerosakan kemudahan sedia ada. Lebih parah lagi situasi yang tidak terkawal akan boleh mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya. Selain itu, masalah ini ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini. Sudah pasti, akan mengakibatkan banyak bahan-bahan kempen berterbangan di atas jalan dan menutupi kawasan landskap jalan.

Jelas, ia merupakan pemandangan yang tidak menarik untuk disaksikan dalam tempoh lima tahun sekali. Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan aktiviti kempen yang dijalankan tidak mendatangkan kerugian kepada aset dan kemudahan kerajaan. Selain pemantauan yang lebih kerap dari pihak berkuasa tempatan, parti-parti politik yang bertanding perlu memastikan bahan-bahan kempen mereka sentiasa dalam keadaan baik dan tidak mengakibatkan kerosakan kemudahan dan risiko bahaya kepada pengguna.

Selain itu, pemantauan juga perlu dilakukan selepas tamatnya tempoh berkempen bagi memastikan semua bahan kempen dialihkan dan dibersihkan seperti sediakala. Kerosakan akibat kempen yang tidak mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan akan mendatangkan kerugian yang besar kepada kerajaan. Sudah pasti, dana dan peruntukan kewangan daripada pembayar cukai akan terbazir semata-mata untuk membaiki kerosakan-kerosakan yang tidak wajar. Ada baiknya dana awam berkenaan digunakan untuk menambahbaik kemudahan sedia ada untuk dimanfaatkan rakyat seluruhnya.

Sebagai cadangan, pihak berkuasa tempatan boleh menyediakan tempat pembuangan bahan kempen di lokasi sementara yang strategik bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan secara sistematik. Selain itu, PBT juga boleh menjalankan kerja-kerja pembersihan bahan kempen secara bersama dan serentak dengan pihak kontraktor pembersihan yang telah dilantik oleh parti-parti politik yang terlibat dengan menyediakan kemudahan lori sampah untuk bergerak seiringan.

Besar harapan agar semua pihak yang terlibat tanpa mengira latarbelakang dan parti politik dapat menjalankan aktiviti kempen dalam keadaan yang terkawal dan tidak menimbulkan provokasi secara berlebih-lebihan tanpa memikirkan keadaan dan keselamatan kemudahan awam serta orang ramai. Selain menawarkan manifesto dan janji-janji kepada rakyat sepanjang kempen PRU, jagalah kemudahan yang diberikan dengan baik sepanjang berkempen. Pastikan kemudahan awan sedia ada tidak menjadi mangsa kempen PRU dengan mengalami kerosakan akibat aktiviti kempen yang penuh emosi dan tidak mengikuti peraturan-peraturan seperti yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Marilah kita bersama berdoa agar Malaysia yang tercinta ini dikurniakan pemimpin yang beramanah, berintegriti dan berkhidmat semata-mata untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. Semoga negara kembali dipacu oleh pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan. Justeru, diharap pemimpin negara kembali fokus dalam meningkatan ekonomi negara, memperbaiki dan memperluas jaringan infrastruktur sedia ada, mengatasi kemiskinan serta membuka peluang pekerjaan yang seluasnya kepada rakyat. Malaysia, selamat memilih!

Oleh: Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak &

Sr Amir Fasha Mohd Isa
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Alam Bina
Universiti Teknologi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast