Menteri Besar Perak yang juga calon Barisan Nasional (BN) N. 04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Perjumpaan bersama calon dan pengundi Tebing Tinggi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Ipoh Timur, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2022.

IPOH – Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming yang sedar Pakatan Harapan (PH) akan kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mula mencetuskan propaganda pada saat akhir bagi menipu pengundi.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia menyebabkan Kor Ming menyatakan satu undi yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) ibarat memberi satu undi untuk Barisan Nasional (BN)

“Apa kena mengena BN dan Perikatan Nasional (PN)? Semua tempat BN tanding, semua calon PN juga bertanding. Apa maknanya satu undi BN adalah sama satu undi PN? Tidak sama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Perjumpaan Cikgu Saarani Mohamad Bersama Calon dan Pengundi Tebing Tinggi, di sini, hari ini.

Menurut Saarani, tindakan Kor Ming itu adalah perang saraf yang digunakan oleh orang yang hendak kalah pada PRU15.

Tambah beliau, Naib Pengerusi DAP itu perlu menipu rakyat dengan memberi gambaran mengundi BN adalah sama dengan mengundi PN

Malah katanya, beliau dimaklumkan PH turut melakukan perang saraf dengan mendakwa akan memenangi PRU menerusi satu kaji selidik.

“Sama seperti saya difahamkan mereka (PH) akan mendakwa mereka sudah menang dan berjaya menubuhkan kerajaan, itu perang saraf. Sama seperti perang saraf yang mereka buat sekarang kononnya ada agensi penarafan dan kaji selidik kononnya mereka menang dan BN kalah. Kononnya itu telah dikeluarkan dari Bukit Aman.

“Sahlah itu penipuan. Bukit Aman tidak akan keluarkan perkara seperti itu. Angka-angka ini dikeluarkan oleh orang-orang yang hendak kalah,” ujarnya

Sementara itu, Saarani berkata, Perikatan Nasional (PN) menciplak manifesto Barisan Nasional dan beliau percaya rakyat tidak akan tertipu dalam perkara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast