Temubual eksklusif SKOP MG bersama Menteri Besar Pahang yang juga calon Barisan Nasional N.02 Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuantan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2022.

KUANTAN – Masyarakat Orang Asli di Pahang dijaga dengan baik dan mereka kini duduk sama rendah, berdiri sama tinggi setaraf dengan penduduk di bandar.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil bagi mengelak golongan pribumi itu keciciran daripada semua aspek pembangunan ekonomi, sosial dan kepimpinan.

Kerajaan negeri, menurutnya, turut mengambil langkah mengetengahkan kepimpinan dalam kalangan Orang Asli  bagi memajukan golongan berkenaan.

“Kita kena merima hakikat masyarakat OA masih ketinggalan berbanding kaum lalu, justeru saya meletakkan wakil calon terdiri daripada kalangan mereka sendiri.

“Langkah memajukan mereka perlu dipercepatkan kerana masih ramai tertinggal, jadi dengan melantik wakil calon daripada Orang Asli merupakan langkah tepat bagi mewakili mereka.

“Ia supaya memudahkan wakil mereka menyerta sidang rakyat atau mana-mana platform supaya dapat didengari oleh semua pihak,” katanya dalam sidang video bersama MalaysiaGazette yang disiarkan hari ini.

Penyandang kerusi DUN Jelai itu turut melantik senator Orang Asli di Pahang, pegawai khas yang dikhususkan menjaga mereka selain mengetengahkan nama dari kalangan masyarakat Orang Asli untuk menjadi ketua-ketua jabatan.

Sebagai contoh, beliau telah melantik Datuk Ajis Sitin sebagai Senator di Dewan Negara mewakili Pahang.

Manakala Ahli Parlimen pertama dalam kalangan masyarakat Orang Asli adalah dari Pahang ialah Datuk Ramli Mohd Nor untuk bertanding mewakili BN di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Pelantikan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat itu dianggap sebagai satu pengiktirafan yang cukup besar kepada masyarakat Orang Asli bukan sahaja di Pahang tetapi juga di seluruh negara.

Sementara itu tidak dinafikan Pahang antara negeri terdepan yang mempejuangkan nasib komuniti itu dan komited dalam membangunkan masyarakat itu.

Bahkan, katanya, kerajaan turut menitikberat kemudahan infrastruktur selain menjaga aspek kebajikan serta pendidikan kepada mereka agar nasib terus terbela.

“Jika dibandingkan dengan dahulu, keadaan masyarakat sekarang jauh berbeza terutamanya dari segi kemudahan infrastruktur seperti laluan jalan raya masuk ke kawasan perdalaman, kemudahan elektrik dan bekalan air bersih,” ujarnya lagi.

Difahakan kerajaan negeri ini meluluskan pembinaan 100 buah Rumah Mesra Rakyat yang bernilai RM75,000 secara percuma kepada komuniti orang Asli di sekitar Pahang.

Dalam perkembangan sama, aspek pendidikan murid Orang Asli terus menjadi agenda utama dalam kepimpinan kerajaan negeri Pahang dalam memartabatkan golongan tersebut ke arah masyarakat berilmu.

“Kini lembaran luas terbuka kepada golongan itu apabila pelajar masyarakat orang Asli Pos Betau dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke tingkatan lima di kawasan yang bakal dimanfaatkan oleh ratusan pelajar,” katanya.

Jelasnya Sekolah Model Khas Komprehensif (Sekolah K9) kini akan diperluas masyarakat golongan Orang Asli sehingga ke tingkatan lima berbanding sebelum ini hanya sampai di tingkatan tiga.

Tambah Pengerusi BN Pahang itu, kerajaan negeri turut menubuhkan sebuah badan berkanun dikenali Pahang Orang Asli Corporation (Oraco) yang dipimpin oleh Datuk Mohammad Olian Abdullah sebagai ketua pegawai eksekutifnya.

Pahang merupakan negeri pertama yang mewujudkan badan berkanun bagi membantu golongan itu sebagi inisiatif untuk memperkasa masyarakat Orang Asli supaya lebih komprehensif selain berperanan membantu menjaga kebajikan dan memperkasakan ekonomi mereka.

“Oraco juga berfungsi untuk memastikan perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti ekonomi yang dijalankan di atas tanah masyarakat Orang Asli boleh dimanfaatkan mereka dengan sebaiknya.

“Aspirasi penubuhan Oraco diilhamkan oleh kerajaan negeri pada penghujung tahun 2020 rentetan kekerapan menerima aduan berkaitan dengan tanah masyarakat Orang Asli di Pahang,” katanya.

Masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang terdiri daripada lapan suku kaum iaitu Jakun, Semelai, Semaq Beri, Jahut, Temuan, Bateq, Semai dan Temiar – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast