KUALA LUMPUR – Persaingan enam penjuru Parlimen Setiawangsa bukan laluan mudah kepada penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad dari Pakatan Harapan (PH).
Bagi calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Fadzilah Kamaluddin, peluang setiap calon yang bertanding untuk menang masih lagi terbuka luas.
Malah, katanya, semua parti memiliki kelompok penyokong yang tersendiri.
Bagi memastikan kemenangan itu akan berpihak kepada PN, gerak kerja parti terus dipergiat tanpa mengenal penat lelah menghadapi hari pengundian 19 November ini.
“Untuk kerusi Parlimen Setiawangsa gerak kerja PN telah mencapai hingga lebih 80 peratus meliputi pelbagai kelompok komuniti serta peringkat umur sama ada pengundi India, Cina mahu pun Melayu.
“Alhamdulillah penerimaan masyarakat juga positif di mana mereka mengharapkan satu perubahan kondusif bagi Setiawangsa yang memiliki lebih 95,0000 pengundi berdaftar di 17 Pusat Daerah Mengundi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selain Nurul Fadzilah, kerusi Setiawangsa turut menyaksikan lima lagi calon bertanding iaitu calon Barisan Nasional, Datuk Seri Izudin Ishak; Parti Pejuang, Bibi Sunita Sakandar Khan;dua calon Bebas, Lim Yen Tiong serta Mior Rosli Mior Mohd Jaafar selain Nik Nazmi.
Mengulas lanjut, Nurul Fadzilah berkata, pada fasa terakhir kempen, pasukannya akan cuba untuk menemui kesemua penduduk di kawasan penempatan termasuk pengundi muda yang diramal menjadi penentu kemenangan bagi calon yang bertanding.
“Selain menjayakan beraneka program di kawasan Setiawangsa setiap hari, kami juga merencanakan gerak kerja kempen yang lain daripada lain termasuk melaksanakan aktiviti memanjat gunung bagi mendekati pengundi muda selain beriadah santai.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Setiawangsa dimenangi Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR dengan meraih majoriti 14,372 undi.- MalaysiaGazette