BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai Solat Hajat Perdana Keluarga Malaysia di Masjid Darul Fikri di sini malam ini.
Beliau tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.10 malam ditemani menantunya, Datuk Jovian Mandagie dan menunaikan solat Isyak terlebih dahulu bersama ratusan jemaah yang hadir.
Solat hajat kemudiannya diketuai Imam 1 Masjid Darul Fikri, Ahmad Hakim Samsudin yang turut mengetuai majlis bacaan Yasin, tahlil ringkas serta zikir munajat.
Majlis solat hajat perdana itu diadakan bagi memohon pelindungan Allah agar dijauhkan bencana alam dan wabak penyakit.
Dalam doa itu meminta agar keharmonian dan keamanan negara kekal terpelihara khususnya ketika Malaysia sedang berhadapan proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Esok merupakan hari terakhir menjelang pengundian bagi PRU15 yang akan menentukan pimpinan negara.-MalaysiaGazette