Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar (kiri) , Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Gerakan Pahang, Ranndy Yap Kim Heng selepas sidang media di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang yakin dapat membentuk kerajaan negeri baharu dengan mandat rakyat pada hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  Sabtu ini.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yakin pembentukan kerajaan negeri itu berdasarkan jangkaan kemenangan majoriti mudah daripada 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Ia berdasarkan respon yang didakwanya sangat positif dari rakyat dan kekuatan tawaran PN sama ada peringkat kebangsaan mahu pun peringkat negeri yang boleh memberi jaminan kepada rakyat.

“Setelah melalui kempen dua minggu, saya amat yakin yang rakyat Pahang akan memberikan kepercayaan PN untuk menerajui pentabiran negeri pada 19 November nanti.

“PN adalah inklusif, menjunjung prinsip dalam perlembagaan persekutuan sekaligus menepati keperluan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa agama dan kaum negeri Pahang.

“Keyakinan kita terhadap gabungan ini berasaskan sambutan  daripada pengundi dari mana-mana tempat mengundi dalam tempoh dua minggu berkempen ini baik kerusi DUN dan Parlimen,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang, Ranndy Yap Kim Heng.

Tambah Saifuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota ini, gelombang terhadap PN semakin hari semakin meningkat dan ia juga dipamerkan apabila pengundi muda yang dijangka pulang untuk mengundi mulai esok.

“Saya cukup yakin mereka (golongan muda) dan pengundi 18 tahun memberi sokongan padu kepada PN bagi membantu kerajaan di negeri ini,” katanya.

Pada PRU14 lalu,  BN menang di 25 kerusi DUN, sembilan  dikuasai PH dan lapan lagi oleh Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast