MCW akta pendanaan politik GLC komisen judi

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ekoran serbuan terhadap Invoke Solutions Sdn. Bhd.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, Rafizi tidak sepatutnya mempolitikkan serta mengganggu proses siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

MCW dengan tegas mengutuk kenyataan Rafizi tersebut serta menggesa beliau meminta maaf kepada rakyat.

“Sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas dan telus, SPRM pastinya memerlukan sokongan semua pihak terutamanya iltizam politik yang kuat dan konsisten untuk membenarkan ia menyiasat serta melaksanakan proses mengumpul bukti dan menyelesaikan kes tanpa ada rasa takut.

“Kami yakin dan percaya bahawa setiap rakyat sentiasa menyokong SPRM dan ia mesti terus tegas dan berani bertindak menyiasat sesiapa sahaja bagi memastikan segala dakwaan kes rasuah dibongkar sehingga ke akar umbi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Rafizi ketika berucap pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru malam tadi memberi amaran kepada Azam bahawa PH akan ‘mencarinya’ selepas mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Semalam, Invoke yang diasaskan Rafizi diserbu sekali lagi oleh SPRM dan beliau turut mengesahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menghantar notis untuk melakukan perkara yang sama.

MCW menambah, kebijaksanaan SPRM dalam menjalankan siasatan tidak wajar dipertikaikan dan ahli politik yang disiasat perlu memberi kerjasama sepenuhnya.

“Beliau juga dinasihatkan untuk mengelakkan membuat kenyataan yang kelihatan mengganggu atau mencampuri urusan siasatan bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilaksanakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette