KUANTAN – “Naik helikopter pun orang persoalkan, bukan saya merompak atau mencuri.”
Itu sinis Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran isunya menggunakan helikopter ketika berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden PKR itu menegaskan, kemampuan beliau menaiki helikopter itu bukan dari hasil wang haram atau perbuatan mencuri.
Selain itu, calon PH kerusi Parlimen Tambun itu hairan kenapa isu beliau tidak mahu mengambil gaji sekiranya menjadi perdana menteri juga dipersoalkan.
“Ambil gaji salah, tak ambil gaji pun salah,” katanya di hadapan penyokong PH pada Ceramah Mega PH di sini malam ini.
Hadir sama, Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh yang juga calon Parlimen Kuantan.
Sebelum itu, gambar Anwar menaiki helikopter tular di media sosial ketika berkempen di seluruh negara sejak beberapa hari lalu dan menjadi kritikan netizen.
Anwar kemudiannya meninggalkan majlis disorak oleh penyokong sambil menyanyikan lagu Altimet, Aduh Malaysia. – MalaysiaGazette