Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid

BALIK PULAU – “Anwar Ibrahim boleh berkampung sebulan di Balik Pulau tapi jangan harap Pakatan Harapan (PH) boleh menang di sini,”.

Demikian kata calon Perikatan Nasional (PN) Balik Pulau, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid yang menyifatkan PH akan kehilangan kerusi di kawasan majoriti Melayu.

Kata Harris, PH berdepan kesukaran untuk menang kerusi Parlimen Balik Pulau susulan sokongan orang Melayu terhadap mereka merosot akibat projek tambakan laut selatan (PSR) serta pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar.

“Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli boleh mai hari-hari Balik Pulau tapi tiada apa yang akan berubah kerana pengundi di kawasan ini marah penyandang Parlimen tidak dapat menyelesaikan masalah mereka kerana projek itu datang daripada parti gabungan sendiri.

“Apa agenda kerajaan negeri, mengapa mereka nak buat PSR, bina asrama kepada 44,000 warga asing di kawasan ini? Mengapa bukan Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor atau Bagan.

“Penduduk Balik Pulau ada pilihan PN dan Barisan Nasional, PH memang mereka akan tolak. Saya sendiri pun hanya anggap pertembungan di sini hanya membabitkan saya dengan calon BN saja,” katanya pada sidang media di sini.

Mengulas lanjut Harris berkata, PH juga bakal mengulangi sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang mana ketika pertembungan ramai namun selepas hari pengundian hanya beberapa wakil kekal di kerusi masing-masing.

Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan dua calon Bebas iaitu Johnny Ch’ng dan Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang akan bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Empat calon lagi adalah Datuk Mohamad Bakhtiar Wan Chik (PH), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN), Mohd Harris Idaham Mohd Rashid (PN) dan Ahmad Fazli Mohammad (GTA). – MalaysiaGazette