Artikel ini ditulis oleh pembaca Malaysia Gazette
PRESIDEN Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini mengatakan Pakatan Harapan (PH) dan partinya memiliki barisan individu yang mampu mengepalai jentera kerajaan untuk menangani kegawatan ekonomi.Syed Saddiq berkata, sekiranya PH diberi peluang untuk memerintah semula, mereka akan melakukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.
Jika dilihat pada prestasi PH selama 22 bulan, diakui pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada tahap tidak menentu. Situasi itu terjadi akibat beberapa faktor yang mendorong kepada kejatuhan ekonomi Malaysia di bawah PH.
Di bawah pemerintahan PH, Malaysia menyaksikan bursa sahamnya menjunam ke paras terendah berbanding negara Asia lain pada 2019. Bursa tempatan ditakrif sebagai bursa dengan prestasi paling lemah di Asia berbanding 2018. Negara jiran seperti Indonesia dan Singapura sering menerima pelaburan asing manakala di Malaysia berlaku sebaliknya.
Pengeluaran dana asing berjumlah AS$2 bilion dari Malaysia telah menyebabkan bursa saham menerima impak buruk. Situasi bertambah buruk apabila kerajaan PH mengumumkan hutang negara meningkat kepada RM1 trilion, sekali gus mencetuskan kegusaran para pelabur.
Mengapa pelabur merasa gusar dan enggan melabur ke dalam Malaysia ketika zaman PH? Para pelabur tidak mahu melaburkan wang mereka di sesebuah negara yang tidak stabil. Ketika zaman pemerintahan PH, faktor politik yang tidak menentu menjadi punca utama keraguan para pelabur untuk ‘mencampakkan’ wang mereka di Malaysia.
Malahan polisi yang tidak mesra pelabur dilaksanakan oleh PH menambahkan lagi kegelisahan para pelabur asing. Bukan itu sahaja, polisi berubah-ubah dilaksanakan oleh PH turut menyebabkan Malaysia sukar menarik pelaburan asing. Pembatalan projek infrastruktur berstatus mega turut menyebabkan para pelabur hilang keyakinan terhadap Malaysia.
Pembangunan sesebuah negara menjadi ‘daya tarikan’ kepada para pelabur asing untuk melaburkan wang mereka ke dalam Malaysia. Malangnya, konflik dalaman PH telah menyebabkan fokus untuk menaikkan ekonomi telah diketepikan dan diganti dengan isu peralihan kuasa tidak berkesudahan.
Pelbagai projek besar yang memberi manfaat kepada ekonomi negara seperti Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR) sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan sehingga RM300 juta kepada Singapura, amat ‘mendukacitakan’. Keputusan kerajaan PH untuk menarik balik beberapa projek mega turut diragui pelbagai pihak dan ada mendakwa PH hanya memikirkan kepentingan peribadi ketika membuat langkah tersebut.
Trek rekod PH mengendalikan ekonomi negara selama 22 bulan menunjukkan bukti sebaliknya. Bukan mahu menidakkan kemampuan PH, namun statistik telah menunjukkan bahawa PH tidak cekap dalam mengendalikan tadbir urus ekonomi negara. Sudah pastinya, kita tidak mahu menjadi seperti Venezuela atau Zimbabwe yang menjadi ‘mangsa’ konflik dalaman negara sendiri sehingga menjejaskan ekonomi mereka.
Walaupun Malaysia tidak mampu menjadi kuasa besar ekonomi seperti China atau Jepun, sekurang-kurangnya negara ini mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara jiran kita.
Muhammad Junaidi Ab Ghani
Shah Alam
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette