Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Farmasi COOP di Lipis hari ini.

LIPIS – Berita baik buat 10,000 penduduk Felda Sungai Koyan.

Mereka kini boleh mendapatkan produk kesihatan awal serta barangan perubatan di Farmasi COOP.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan Farmasi COOP merupakan yang pertama di sini dimiliki oleh Koperasi Felda Sungai Koyan 3, Lipis ini disediakan bagi memenuhi keperluan penduduk.

Tambah Wan Rosdy, dengan adanya fasiliti rangkaian Farmasi COOP ianya dapat menjimatkan masa dan wang kepada penduduk untuk berulang alik ke bandar.

“Malahan kemudahan itu juga dapat dimanfaatkan oleh penduduk berhampiran sekitar Lipis dan Raub selaian daripada masyarakat orang Asli dan orang kampung tradisi.

“Kami merasakan nak memberikan kemudahan penduduk di sini jadi mereka tidak perlu ke Lipis atau Raub, ini memudahkan rakyat mendapatkan bekalan ubat-ubatan asas seperti vitamin,” katanya.

Farmasi COOP itu turut menawarkan harga berpatutan dan mampu milik kepada pengguna selain potongan diskaun kepada ahli-ahlinya.

Farmasi tersebut merupakan cawangan ketiga selain di Bentong dan Kuantan dan diselia oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan suntikan modal sebanyak RM150,000 untuk stok barangan perubatan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pusat hemodialisis secara percuma disediakan di Pusat Kesihatan Felda Sungai Koyan.

“Pesakit daripada Felda yang terpaksa pergi Raub dan Lipis boleh menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit penduduk tempatan untuk rawatan secara percuma,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast