Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

KUALA LUMPUR – Malaysia berpuas hati terhadap proses penghakiman kes pesawat MH17 yang telah diputuskan oleh Mahkamah Daerah The Hague.

Pejabat Perdana Menteri berkata, Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab.

Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague pada hari ini.

”Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan.

”Keputusan kes jenayah di Belanda ini menjadi satu tanda aras yang penting dalam usaha untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi penerbangan tersebut serta kepada semua waris mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, mahkamah itu memutuskan dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 serta menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

Mereka ialah Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko.

Jelasnya, Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa yang amat meruntun hati ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama (JIT).

Pasukan ini terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17 ini.

”Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

”Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah pada hari ini diharap sedikit sebanyak akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast