KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid UMNO menempelak Perikatan Nasional (PN) yang melaungkan slogan ‘bersih dan stabil’ dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 bertujuan mengelirukan rakyat.
“Pengundi PRU15 usah terpedaya dengan permainan persepsi konon PN sebuah gabungan yang bersih dan stabil.
“Sedangkan sebahagian pemimpin PN ialah ‘katak-katak politik’ PPBM@Bersatu yang mengkhianati mandat rakyat pada PRU14.
“Tergamak membelot undi rakyat khususnya pengundi BN untuk bersekongkol dengan penzalim bagi mengelak dikenakan pendakwaan politik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.
Menurut Ahmad Zahid yang bertanding di Parlimen Bagan Datuk, PN secara selamba bersubahat dengan Pakatan Harapan dan DAP selama 22 bulan sehingga meranapkan kestabilan dan kemakmuran negara.
Katanya, Bersatu hanya bertindak meninggalkan PH selepas menyedari mereka telah hilang sokongan rakyat terutama pengundi Melayu berikutan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih dan Tanjung Piai.
“Alasan PPBM@Bersatu keluar PH kerana DAP tidak logik kerana bukan baru sekarang pemimpin Bersatu mengenali DAP.
“Liciknya, PPBM@Bersatu selepas itu memperdaya Pas untuk memecahbelahkan Muafakat Nasional dimeterai pada 2019,” katanya.
Ahmad Zahid juga berkata, alasan pembentukan PN dan desakan supaya UMNO menyertai gabungan tersebut atas alasan ummah juga merupakan kesempatan Bersatu untuk menamatkan UMNO.
“Syukur alhamdulillah pemimpin UMNO yang setia berjaya menyelamatkan parti terbesar Melayu itu daripada tergadai,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru para pengundi PRU15 terutama pengundi Melayu supaya tidak terpedaya dengan naratif PN bersih dan stabil sedangkan para pemimpin gabungan itu turut terpalit dengan kontroversi dan skandal.
`Bersembunyi’ disebalik imej parti sekutu yang mendakwa Islamik sama ada sedar atau tidak mereka dipergunakan.
“Ketahuilah sebahagian PN adalah PH dan sebahagian PH adalah PN kerana PPBM@Bersatu daripada origin politik yang sama.
“Jangan buat kesilapan kali kedua hanya kerana terpedaya dengan watak berbeza dimainkan oleh ‘pelakon’ yang sama,” katanya.
Ahmad Zahid juga mendakwa, mengundi PN bukan bermakna memilih parti yang Islamik sebaliknya mereka akan memberi undi kepada Bersatu
“Demi kestabilan dan kemakmuran undilah BN yang mungkin tidak sangat sempurna, tetapi ia sebuah parti khidmat.
“BN telah berjaya memulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat penentuan pada 19 November ini.
Usahlah disia-siakan peluang yang hanya datang sekali dalam tempoh beberapa tahun itu. Yakini BN Undi BN,” katanya. – MalaysiaGazette
pengundi jangan percaya dengan wak zahid kaki belit, kai putar alam dan kaki temberang