Keadaan motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 54.2 Lebuh Raya Karak berdekatan Bentong hari ini. - FOTO: IPD BENTONG

BENTONG – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 54.2 Lebuhraya Karak menghala ke Bentong yang melibatkan empat buah kenderaan dekat sini petang tadi.

Kemalangan melibatkan sebuah treler yang dipandu oleh lelaki warganegara tempatan berusia 29 tahun yang datang dari Klang menghala ke Bentong dengan muatan kertas untuk dikitar semula.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohd. Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang maut, Mohd Hazwan Faiz Ismail berusia 30 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala setelah terjatuh dan terperosok di bawah lori treler.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Y16Z cuba memotong di sebelah kiri sebuah treler tetapi gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas, kemudiannya terjatuh dan terperosok di bawah lori.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat cedera di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut memotong di laluan yang sama iaitu dua buah motosikal jenis LC135 dan Yamaha Y15Z turut terlibat tetapi penunggang mengalami kecederaan ringan dan kesemua mereka dari Damansara untuk pulang ke Jerantut.

“Diharap pengguna jalan raya berhati-hati terutama musim tengkujuh kerana keadaan jalan basah dan licin,” katanya.

Polis memohon kerjasama pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-MalaysiaGazette