BERA – Poster tular kononnya calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan membayar perantau yang balik mengundi adalah palsu.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut dan menegaskan ia tidak benar.   

“Ini merupakan tindakan terdesak pihak lawan yang kini berada di ambang kekalahan sehingga sanggup menggunakan taktik kotor untuk mencemari kredibiliti saya sebagai calon,” luahnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Fuziah, poster infografik yang tersebar melalui aplikasi whatsApp itu mengatakan kononnya beliau akan memberi wang kepada pengundi yang pulang mengundi di rumahnya malam ini. 

“Saya yakin rakyat tidak akan terpedaya dengan taktik kotor ini kerana mereka yakin dengan integriti saya selama ini,” tambah penyandang kerusi Parlimen Kuantan itu.

Beliau turut menyeru seluruh warga Kuantan untuk memberi undi kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Esok, seramai 86,024 orang pengundi di Kuantan akan menunaikan tanggungjawab mengundi diantara Datuk Ab Hamid Mohd Nazahar (BN-UMNO), Fuziah Salleh (PH-PKR), Wan Razali Wan Nor(PN-PAS) dan Anuar Mohd Tajuddin (Pejuang). – MalaysiaGazette