Pakaian jentera parti paling banyak dihantar pada musim PRU15.

SEBERANG PERAI – Seorang pengusaha dobi di Seberang Jaya di sini, tidak menang tangan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengusaha dobi, Cik Syafawati Che Radzi, 43, berkata, kehadiran orang luar dan jentera politik untuk berkempen menyebabkan pelanggan di premis itu meningkat.

“Sebelum ni kami menerima kira-kira 150 kilogram (kg) pakaian setiap hari tetapi sejak hari pertama kempen PRU15 bermula jumlah itu meningkat kepada 250 kg.

“Baju-baju yang dihantar terdiri daripada (logo) pelbagai parti politik iaitu kemeja-T, baju korporat dan pakaian biasa.

Cik Syafawati.

“Malah, empat pekerja saya terpaksa menggandakan tenaga supaya bagi memastikan pelanggan menerima pakaian yang siap dicuci dan digosok pada waktu ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Jalan Tenggiri, di sini.

Mengulas lanjut Cik Syafawati menyifatkan peningkatkan pendapatan di pusat dobinya itu bagai pucuk dicita ulam mendatang.

Pekerja pusat dobi itu perlu menggandakan tenaga untuk memastikan baju pelanggan dicuci pada waktu yang ditetapkan.

“Saya anggap sambutan menggalakkan itu sebagai kejutan rezeki. Ini kerana pendapatan harian yang diterima meningkat sehingga 60 peratus,” jelasnya. – MalaysiaGazette