Ahmad Zahid Hamidi.-Foto MOHD ADZLAN, 13 NOVEMBER 2022.

BAGAN DATUK – Malaysia akan mengakhiri tahun ini dengan gelombang biru yang lebih gah daripada penyokong dah ahlinya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRU15 akan menjadi platform untuk parti itu menguatkan teras bagi memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

“Dengan sokongan dan dukungan saudara-saudari semua, insha-Allah, Barisan Nasional akan bangun dengan lebih kuat walaupun telah jatuh pada PRU14,” kata Ahmad Zahid dalam Perutusan Hari Mengundi.

Beliau yang akan mempertahankan Parlimen Bagan Datuk berkata, pilihan raya esok adalah peluang untuk rakyat menyelamatkan negara dan tidak bereksperimen dengan mereka yang tidak ada legasi rekod pembinaan negara.

Beliau berkata, PRU15 adalah wadah BN untuk mendapatkan kembali mandat rakyat.

“Mandat ini penting kerana mereka, yang diberikan peluang membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 lalu, telah memburukkan lagi keadaan negara.

“Ramai rakyat amat merindui kegemilangan Barisan Nasional yang telah mereka saksikan dahulu. Kegemilangan pembangunan negara, kerancakkan ekonomi yang menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, BN menjanjikan kestabilan buat negara bersandarkan rekod parti itu selama ini dalam proses membuat keputusan.

Katanya, BN sentiasa berpegang kepada prinsip kolektif dengan keputusan dibuat secara bersama bersandarkan kepada keutamaan, kebenaran dan konsisten.

“Inilah yang diperlukan oleh negara. Inilah juga pendekatan kami selama ini yang mampu menjamin kestabilan dapat dipelihara.

“Kestabilan amat penting bagi Malaysia untuk menarik semula keyakinan pelabur luar, keyakinan rakyat negara sendiri, bahawa mereka mempunyai masa hadapan yang cerah.

“Yakinlah, amalan yang dipratikkan dalam Barisan Nasional, tiada seorang pemimpin pun lebih tinggi daripada parti dan rakyat. Dengan prinsip ini, Barisan Nasional mampu kekal teguh walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan politik,” katanya.

Beliau menegaskan, pilihan raya esok juga akan menjadi platform untuk BN menguatkan teras agar dapat memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

Dengan sokongan dan dukungan rakyat BN akan bangun dengan lebih kuat walaupun parti itu telah jatuh pada PRU14.

BN menurut beliau, kini bergerak kehadapan untuk melakukan reformasi di dalam parti dan kerajaan.

BN juga terbuka dengan segala kritikan dan bersedia untuk menerima pandangan daripada rakyat.

Parti itu juga bersedia untuk membuka lembaran baru dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.

“Dengan mandat yang mutlak daripada saudara-saudari sekalian, kita mampu membentuk sebuah pasukan kerja yang mantap dan bersedia untuk mengharungi pelbagai krisis, sama ada dalaman mahupun global.

“Hanya kerajaan yang kuat dan stabil sahaja akan dapat mengatasinya.

“Akhir kata, saya merayu dan mengajak saudara-saudari sekalian, marilah kita bersama-sama memikul amanah dan tanggungjawab, demi Malaysia yang stabil dan makmur,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid sekali lagi mengulangi 99 Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang ditawarkan kepada rakyat adalah tawaran yang praktikal, munasabah dan mampu dilaksanakan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast