M. Kayveas

IPOH – Parlimen Ipoh Barat bukan lagi kubu kuat DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana wakil rakyat di situ dikatakan tidak pernah peduli terhadap isu-isu tempatan.

Menurut calon Bebas Tan Sri M Kayveas, penyandang kerusi Parlimen Ipoh Barat, Kula Segaran daripada Pakatan Harapan (PH) hanya berminat untuk bercakap isu-isu nasional yang tidak berkaitan dengan pengundi di kawasan itu.

“Banyak lagi isu tempatan yang perlu diberikan perhatian dan fokus. Rakyat di sini juga ramai juga menderita dan memerlukan bantuan.

“Namun itu tidak berlaku di sini kerana wakil rakyatnya lebih banyak memberikan perhatian terhadap isu nasional. Anda fikir pengundi peduli kini dengan perkara itu?

“Mereka lebih peduli isu yang berkaitan dengan mereka, mereka hendak dengar bagaimana ekonomi mereka akan dipertingkatkan, pembangunan dibawa ke tempat ini, kemudahan infrastruktur serta kebaikan penduduk setempat. Itu yang mereka mahu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Menurut Presiden MyPPP itu, apa yang diutarakan ini bukanlah pendapat peribadi sebaliknya adalah pandangan umum para pengundi yang ditemuinya sepanjang tempoh kempen PRU15.

Katanya, peluang turun padang untuk bertemu pengundi-pengundi Parlimen Ipoh Barat digunakan sepenuhnya untuk mendengar luahan hati mereka.

“Pada mereka, wakil rakyat yang mereka undi daripada parti sama selama berpuluh tahun tidak pernah selesaikan apa-apa,” katanya lagi.

Menurut Kayveas, beliau bertanding sebagai calon Bebas kerana partinya sedang berdepan dengan sedikit isu dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan terpaksa menggunakan logo jam.

Beliau akan berdepan persaingan empat penjuru dengan bekas Menteri Sumber Manusia, Kula Segaran (PH), Low Guo Nan (BN) dan Chek Kwong Weng (PN).- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast