TEMERLOH – Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin memilih untuk meraikan pengundi dengan mengadakan kenduri rakyat.
“Kita sudah bersedia. Malam ini, semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan bilik gerakan mempunyai aktiviti masing-masing seperti sembahyang hajat, bertemu pengundi dan sebagainya.
“Selain itu kita juga adakan program-program meraikan ‘first time voters’ di Temerloh ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette dalam program bersama masyarakat Kampung Tingkat di sini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas Mohd Sharkar, jumlah pengundi yang pulang dari perantauan dilihat semakin bertambah sejak tengah hari tadi, terutamanya pengundi muda.
Namun, ekoran segelintir mereka tidak merasai perkhidmatan yang pernah diberikan wakil rakyat sebelum ini, beliau mengakui sedikit khuatir jika ia mempengaruhi jumlah undi yang akan diperoleh esok.
“Tapi kita harap mereka dapat menilai prestasi dan komitmen yang dibuat oleh calon-calon sebelum ini,” luahnya.
Ditanya mengenai persediaan beliau menghadapi sebarang kemungkinan dengan keputusan pengundian esok, Mohd Sharkar yakin pengundi kini lebih bijak untuk memilih siapa yang mereka rasa terbaik.
“Kita sudah buat yang terbaik dan keputusan itu adalah di tangan pengundi. Kepada first time voters, saya ucapkan selamat mengundi,” katanya.
Esok, beliau yang juga Exco Pelancongan Negeri Pahang bakal berhadapan Salamiah Mohd Nor (PN-PAS), Mohd Hasbie Muda(PH-Amanah) dan Aminuddin Yahaya (Pejuang-Gagasan Bangsa) bagi merebut kerusi Parlimen Temerloh.- MalaysiaGazett