Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan saman terhadap Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Rafizi Ramli.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu berkaitan dengan fitnah Timbalan Presiden PKR ke atas Tuan Ibrahim yang dituduh terlibat dalam kelulusan projek kementerian berkenaan.

Menurut Timbalan Presiden Pas itu, writ saman berkenaan telah dimulakan semalam selepas beliau menghantar notis tuntutan bertarikh 10 November lalu melalui peguamnya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid.

“Peguam saya telah hantar notis tuntutan bertarikh 10 November kepada Rafizi atas kenyataan beliau yang sangat tidak bertanggungjawab dan memfitnah saya.

“Saya beri masa tujuh hari untuk beliau mohon maaf dan tarik balik kenyataan itu tetapi tiada maklum balas bertulis kepada peguam saya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Tuan Ibrahim, beliau mengambil tindakan itu kerana Rafizi berterusan memfitnahnya dengan kenyataan demi kenyataan yang tidak berpaksi kepada kebenaran.

Beliau berharap calon PH Parlimen Pandan itu berani berdepan proses mahkamah mengikut undang-undang, bukan hanya berkokok melaung fitnah di media sosial dan pentas ceramah.

“Insya-Allah, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikannya kepada Rafizi.

Rafizi sebelum ini mendakwa kementerian itu dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat milik individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Beliau mendakwa dimaklumkan sumber kerajaan bahawa usaha meluluskan segera projek itu bawah pentadbiran kerajaan sementara sebagai timbal balas selepas menerima dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Justeru, Rafizi menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan itu dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara kerana ia bertentangan dengan pekeliling perbendaharaan. – MalaysiaGazette