Datuuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita kerana mencabut bendera sebuah parti politik yang bertanding pada pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) di di Jambatan Jalan Tun Razak, Alor Setar, Kedah semalam.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, beliau ditahan ketika sepasukan anggota yang sedang membuat pemantauan di sekitar Kota Setar, Alor Setar.

“Dalam kejadian pada 17 November lalu, jam lebih kurang jam 5 petang pengadu yang sedang mengetuai pasukan Cantas 1, Cantas2, dan Cantas 3 di Kota Setar terlihat seorang perempuan tempatan sedang mencabut bendera parti politik di Jambatan Jalan Tun Razak, Alor Setar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut

Sementara itu, Hazani berkata, polis telah membuka 28 kertas siasatan semalam dan daripada jumlah itu sebanyak lima kertas siasatan dibuka di Kedah diikuti Pahang (4), Johor (4), Selangor (t3), Sabah (3), Kelantan (2), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sarawak.

“Kesemua siasatan sedang diteruskan polis atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 4(A)(1) Akta Pilihan Raya (APR) 1954, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Jelasnya, kebanyakan kertas siasatan itu membabitkan kes mencabut bendera parti, merosakkan sepanduk atau poster dan memuatnaik kenyataan yang didakwa sebagai fitnah di laman media sosial

Dalam pada itu, polis meluluskan sebanyak 1,907 permit ceramah semalam dan daripada jumlah itu sebanyak 312 permit ceramah diluluskan di sabah diikuti Sarawak (271), Perak (188), Johor (172), Kedah (149), Kelantan (147), Selangor (142), Terengganu (141), Pahang (126) dan Perlis (28). – MalaysiaGazette