KUALA SELANGOR – Seorang ibu muda yang baru lepas berpantang, antara 102,553 pengundi di Parlimen Kuala Selangor yang menunaikan tanggung jawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.
Kehadiran pengundi muda, Nurul Iffah Norhusaini, 29, mendapat perhatian apabila dia menolak kereta sorong bersama bayinya berusia dua bulan selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam Fasa 2, kira-kira jam 8.10 pagi ini.
Walaupun baru habis berpantang, Nurul Iffah tidak melepaskan peluang untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar boleh berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.
“Sebagai pemilih, saya ingin menjadi salah seorang pengundi menentukan calon terbaik demi masa depan negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang pengundi yang berkerusi roda, Mohd Tajri Mohd Affandi, 46, berkata, dia tiba di pusat pengundian di sekolah itu sejak jam 8 pagi.
Menurutnya, meskipun keadaan fizikal membataskannya bergerak, namun dia tetap bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“Saya menghidap komplikasi pelbagai penyakit seperti buah pinggang dan kencing manis, tetapi tanggungjawab mengundi tidak akan dilupakan,” katanya.
Mohd Tajri memberitahu, lazimnya dia antara pengundi paling awal beratur ke pusat pengundian setiap kali pilihan raya.
“Saya tidak mahu bersesak, lebih-lebih lagi Covid-19 masih menular dan semakin meningkat ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette