IPOH – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bagan Datuk menafikan mesej tular mahu memberi ‘sumbangan’ berjumlah RM100 kepada pengundi.
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan sekeras-kerasnya sebaran yang dibuat melalui media sosial tersebut.
Beliau turut mengutuk tindakan pihak yang menyebarkan mesej berkenaan.
“Tular di sekitar Bagan Datuk pagi ini mesej dihantar pihak tidak dikenali.
“PH Bagan Datuk menafikan sekeras-kerasnya ada rasuah untuk pengundi dan mengutuk perbuatan menyebarkan berita palsu.
“Pengundi hari ini sudah semakin bijak untuk menilai, Selamat Mengundi! #BaganDatukBangkit,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Dalam mesej yang ditularkan itu, PH didakwa mahu memberi RM100 kepada pengundi sebagai menghargai sokongan yang dibuat terhadap Shamsul Iskandar.
Menurut mesej itu, pengundi perlu hadir ke Pusat Operasi PH Bagan Datuk hari ini dan membawa kad pengenalan untuk menuntut wang berkenaan.
Shamsul Iskandar berhadapan dengan penyandang kerusi tersebut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional. – MalaysiaGazette