KUALA KUMPUR – Rata-rata pengundi kali pertama berusia 18 hingga 21 tahun teruja dapat menunaikan tanggung jawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di pusat mengundi Sekolah Kebangaan (SK) Taman Maluri mendapati, ramai pengundi muda keluar seawal jam 8 pagi bersama keluarga bagi menunaikan kewajipan mereka sebagai rakyat Malaysia.
Bukan itu sahaja, ada di antara mereka menyifatkan keterujaan mengundi hari ini seperti ingin ‘bernikah’ memandangkan perlu mencelup dakwat di jari.
Menurut salah seorang pengundi muda, Melissa Sofia Shahra, 18, dia berasa teruja untuk hadir mengundi hari ini kerana pertama kali merasai pengalaman memilih wakil rakyat sempena PRU.
“Saya keluar seawal jam 8 pagi tadi sebab teruja sangat sebab ini kali pertama nak mengundi wakil rakyat baharu untuk negara. Perasaan bila jari dicelup dakwat tadi, rasa macam pakai inai je, seronok jugalah sebab pengalaman.
“Harapan saya, semoga pengundi diluar sana dapat memilih pemimpin yang terbaik untuk negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Sementara itu, Ellysha Diana Shahran, 21, yang hadir ke pusat mengundi bersama adiknya berkata, mereka telah merancang untuk ke pusat pengundian seawal jam 8 pagi kerana tidak sabar untuk turut sama mengundi hari ini.
“Ini pertama kali saya akan mengundi dan datang bersama adik saya. Memang ada perasaan berdebar sebab kita terlibat untuk pilih wakil rakyat yang betul-betul boleh memimpin.
“Jari dah biru ini memang bangga sebab boleh tunjuk pada semua.
“Memang teruja sangatlah tak sabar nak show off di media sosial, kita pengundi muda ini antara yang turut terlibat dalam pengundian hari ini,”ujarnya.
Dalam pada itu, warga emas, Zaiton Ali,70, gembira kerana berpeluang untuk mengundi pada PRU15.
Katanya, dia berharap ada perubahan yang boleh dilakukan oleh kerajaan yang bakal mendapat mandat nanti.
“Masa Pakatan Harapan (menang), memang tiada harapanlah masa tu, tiada ada-apa pun lagi-lagi Rina (Datuk Seri Rina Harun) habis. Saya cuma berharap biarlah wakil rakyat nanti kekal dan terajui Titiwangsa ini dengan sebaiknya, tak mahulah melompat,” katanya selepas mengundi.
MalaysiaGazette turut bertemu seorang pengundi di Parlimen Titiwangsa tetapi menetap di Negeri Sembilan.
Malisa Ayob,60, berkata dia pernah tinggal di kawasan Parlimen Titiwangsa sebelum berpindah ke Negeri Sembilan sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk mengundi.
“Demi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, Mak Cik sanggup datang ke sini sejak semalam lagi dan tiba di pusat mengundi pada jam 8 pagi.
“Alhamdulilah, proses mengundi di saluran dua tadi berjalan lancar. Ada kerusi untuk mengundi walaupun ada sedikit kekecohan tapi PRU kali ini tenang tak macam dulu. Saya harap kita dapat pemimpin yang baik dan membantu rakyat,” katanya.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parlimen Titiwangsa mempunyai seramai 80,747 pengundi berdaftar dengan tiga zon melibatkan Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Kampung Baru.
Daripada peratusan itu, 72.5 peratus bersamaan 58,509 pengundi Melayu, Cina pula seramai 13,250 pengundi (16.4%), kaum India adalah 7,687 orang (9.5%) dan lain-lain, 1, 301 pengundi (1.6%). – MalaysiaGazette