PASIR GUDANG – Hujan di sekitar Johor Bahru tidak menghalang pengundi untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, di sini, mendapati pengundi mula tiba seawal jam 7 pagi bagi memilih Ahli Parlimen Pasir Gudang.
Antara yang tiba awal ialah pasangan kembar Dayana Zulqamarina Zulkifli dan Dayini Zulqamaria Zulkifli, 25, mendapat tumpuan media yang membuat liputan di sekolah itu.
Menurut Dayini, dia dan kembarnya mengkaji calon-calon yang bertanding di Parlimen Pasir Gudang sebelum ini sebelum memutuskan pemimpin mahu yang mahu dipilih.
Katanya, apa yang penting beliau mahu wakil yang rakyat yang dipilih boleh membawa permasalahan penduduk ke peringkat lebih tinggi.
“Walaupun kembar kami sudah tentu mempunyai perbezaan pendapat termasuk calon yang kami pilih. Calon dia memang tidak sama. Tapi itu hak kami sebagai pengundi.
“Saya harap calon yang menang nanti melebihi dan berpihak kepada suara rakyat dan buat sesuatu untuk kemudahan rakyat bukan projek mega atau rumah mahal-mahal yang kita (rakyat) tidak mampu beli.
“Lihat sahaja jalan yang teruk di Pasir Gudang. Hingga kini tiada jalan penyelesaian. Itu sepatutnya mereka sebagai wakil rakyat selesaikan. Saya memang mengharapkan dengarlah suara rakyat bukan berkempen sahaja sanggup dengar suara rakyat sampai ke pagi,” katanya yang mengenakan baju yang sama warna dengan Dayana.
Sementara itu, Dayana memberitahu,hujan bukan penghalang baginya untuk keluar mengundi memandangkan masa depan Johor lebih diutamakannya.
Katanya, seperti mana pengundi sanggup berkorban meredah hujan hari ini, wakil rakyat yang dipilih juga perlu perlu berkorban untuk memajukan kawasan Parlimen mereka.
“Waktu inilah calon yang menang perlu fikirkankan kepayahan pengundi keluar mengundi untuk memilih mereka.
“Saya harap calon yang menang dapat melihat kemudahan pengangkutan di Johor yang saya rasa sangat teruk dan tidak begitu moden dan mesra OKU. Itu perlu diberi perhatian,” ujarnya ditemui di SK Taman Rinting 1, di sini, hari ini.
Parlimen Pasir Gudang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Noor Azleen Ambrose dari Barisan Nasional, Hassan Abdul Karim (Pakatan Harapan), Mohammad Raffi Beran (Parti Pejuang Tanah Air) dan Mohamad Farid Abdul Razak (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette