BERA – Calon BN Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengundi kira-kira jam 10.25 pagi setelah sejam berbaris bersama pengundi lain di saluran 2, di SMK Bandar Kerayong, di sini.
Beliau memakai kemeja batik berwarna biru, sedondon dengan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang turut mengundi di saluran sama.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas mengundi, beliau berpuas hati proses pengundian yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjalan lancar di sekolah tersebut.
“Di sini saya tengok proses pengundian berjalan dengan baik dan lancar.
“Tidak ada sebarang aduan yang diterima terutama daripada pengundi saluran 1 dan 2 seperti saya, yang mengadu tidak cukup kerusi dan tempat duduk,” katanya.
Ketika ditanya pengalaman mengundi pertama kali sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, ia sama sahaja seperti sebelum-sebelum ini.
“Cuma kali ini ramai media (liputan),” katanya sambil tertawa kecil.
Sementara itu, beliau turut menasihati semua pengundi di seluruh negara agar tidak menunggu sehingga saat akhir untuk mengundi.
“Saya harap pengundi keluar awal kerana kita tahu dalam keadaan peralihan ke musim tengkujuh ini, apabila petang akan hujan.
“Jadi jangan tunggu saat-saat akhir untuk keluar mengundi kerana kalau petang hujan ramai yang tidak keluar,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini tinggi berbanding sebelum ini.
Terdapat 4,899 orang pemilih berdaftar akan mengundi di lapan saluran di SMK Bandar Kerayong bermula jam 8 pagi tadi sehingga jam 6 petang ini.
Menurut daftar pemilih SPR, terdapat seramai 77,669 pengundi di Bera meliputi kira-kira 18,000 pengundi baharu, 3,800 pengundi awal dan 3,004 pengundi pos. – MalaysiaGazette