Saarani Mohamad dan isteri beramah mesra dengan pengundi yang tiba di SMK Sultan Azlan Shah hari ini.

GERIK – Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yakin parti pimpinannya di negeri itu akan mencapai sasaran menguasai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)

Saarani yang ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Azlan Shah di Lenggong berkata, beliau mempunyai keyakinan terhadap sasaran penguasaan DUN tersebut.

Ini berdasarkan tinjauan dilakukannnya malam tadi yang memperlihatkan sokongan orang muda yang pulang mengundi terhadap BN.

“Sudah tentu sangat tinggi. Saya meninjau semalam nampaknya yang balik mengundi orang muda dan bergerak banyak tempat di kawasan Parlimen Lenggong di Kenering, Gerik.

“Memang sambutan orang muda yang balik dari luar memenuhi bilik gerakan BN.

“Jadi saya yakinlah kalau itu ditunjukkan di Hulu Perak samalah di tempat lain,” katanya yang ditemui selepas melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan kerajaan yang baharu.

Saarani tiba di SMK Sultan Azlan Shah bersama isteri Datin Seri Aezer ZubirĀ  kira-kira pukul 8.07 pagi dan memasukkan kertas undi ke dalam peti pada pukul 8.11 pagi.

Beliau berharap dengan cuaca yang baik pengundi dapat keluar beramai-ramai pagi ini bagi melaksanakan tugas sebagai warganegara yang bertanggung jawab.

Menurut Saarani, cuaca mungkin akan berubah kepada hujan pada sebelah petang seperti yang dialami di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu Saarani yang mempertahankan kerusi DUN Kota Tampan berkata, Perak dalam dalam persiapan yang tinggi dalam menghadapi bencana bajir.

Beliau yang selalu berhubung dengan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa bencana tersebut akan bermula minggu hadapan.

“Seperti biasa sama ada pilihan raya atau tidak seperti yang saya sebut jawatankuasa bencana yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sentiasa berwaspada.

“Saya pun sentiasa bertanya kepada beliau dan memberi jaminan semua jentera di semua lapisan berada pada kesiapsagaan yang tinggi.

“Sudah tentu kita harap cuaca yang baik ini akan berterusan dan kalau ikut meteorologi yang berlaku banjir ini minggu hadapan,” katanya kepada pemberita.

Saarani berhadapan persaingan tiga penjuru dan ditentang oleh Mohamad Sabri Abdul Manaf (Pakatan Harapan) dan Mohamad Jamil Yahya (Perikatan Nasional).

DUN Kota Tampan mempunyai 14,354 pengundi dengan hanya 39 pengundi awal.

Pada PRU14 Saarani menang di kerusi ini dengan mendapat 5,183 undi dengan majoriti 2,302 undi. Perak mempunyai 59 DUN dan 24 Parlimen.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast