PELENGKAP kepada ciri asas sistem demokrasi ini menentukan siapakah yang berkuasa dan siapakah pula yang membangkang. Penguasa atau pembangkang – kedua-duanya signifikan dalam menentukan nasib dan hala tuju negara.
Ketiadaan kerajaan yang berdaya saing tentu sekali meranapkan masa depan negara, manakala ketiadaan pembangkang yang kritikal memastikan kerajaan yang tidak berdaya saing kekal memundur. Pada akhirnya, risiko terjerumus ke arah negara gagal (failed state) adalah tinggi sebagaimana yang berlaku di beberapa negara Afrika. Sedar atau tidak, segala-gala bermula dengan pemilihan calon yang tepat dalam pilihan raya.
Fahami siapakah ‘wakil rakyat’ dan peranannya
Asas dalam memahami konsep wakil rakyat ialah kita harus maklum bahawa wakil rakyat merupakan pekerja kepada rakyat. Rakyat ialah majikan kepada wakil rakyat. Daripada rakyat mereka menerima gaji, kepada rakyat mereka berkhidmat. Tugas hakiki mereka tidak sekadar turun kawasan dan berjumpa masyarakat semata-mata, ia adalah lebih dari itu. Sedarkah kita, wakil rakyat yang dilantik bakal menjadi penggubal kepada dasar-dasar negara? Wakil rakyat yang dipilih akan memenuhi ruang eksekutif, misalnya menteri.
Menteri-menteri adalah dilantik daripada wakil-wakil rakyat yang terpilih. Ketandusan wakil rakyat yang berdiri atas nilai meritokrasi membuka ruang kepada lambakan menteri-menteri yang tidak kompetitif dan fungsinya sekadar mengisi ruang hiburan awam. Realiti yang perlu ditelan hari ini, untuk menemui mutu pada menteri adalah seperti mencari jarum ditumpukan jerami. Ia bukan bererti tidak ada, namun sulit ditemukan. Segala-galanya berlaku atas kurangnya kefahaman dan penghayatan sebahagian masyarakat tentang peri penting meritokrasi dalam memilih wakil rakyat.
Merit calon jadi ukuran penting
Realiti pahit yang perlu ditelan, meritokrasi gagal mendapat tempat di Malaysia. Di negara ini, ia kurang dibudayakan, lantas pembudayaan ini meresap ke dalam kerangka episteme masyarakat. Merit dari sudut etimologinya (asal-usul kata) berakar dari perkataan Latin mereō, dan -cracy, dari Greek Purba κράτος kratos, iaitu ‘kekuatan, kuasa’. Ia dapat difahami sebagai sebuah terma yang menjunjung tinggi bakat, usaha, kerja keras dan pencapaian individu berbanding kelas, kekayaan, hierarki sosial dan tambahan pada hari ini — populariti.
Meskipun sebahagian masyarakat negara ini skeptikal dengan bapa pengasas Singapura, Lew Kuan Yew, namun sosok inilah yang bermati-matian memperjuangkan meritokrasi, iaitu nilai yang turut disarankan dalam Islam. Pada hari ini, nilai-nilai merit dalam trajektori negaranya jelas kelihatan meskipun merupakan antara negara yang miskin sumber bumi. Menteri-menteri di Singapura rata-ratanya boleh dikatakan kompetitif, dengan latar pendidikan yang cemerlang daripada institusi pendidikan tinggi tersohor global.
Di Indonesia pula, menteri-menterinya majoriti dianggotai oleh sebahagian besar golongan profesional dalam bidangnya. Kabinet Joko Widodo (2019-kini) yang dinamakan Kabinet Indonesia Maju membariskan 22 golongan profesional dan hanya sekitar 16 orang dari parti politik. Nama seperti Nadiem Makarim, pengasas syarikat startup Gojek yang berlatar belakangkan pendidikan dari Ivy League, iaitu Universiti Harvard turut menghiasi senarai kabinet Indonesia. Hari ini, negara-negara jiran semakin jauh meninggalkan kita. Sayangnya, kita masih belum sedar dek mimpi.
Dari perkembangan ini, apakah keluk pengajarannya? Pertama, bukti-bukti global menyarankan bahawa merit menjadi kriteria signifikan dalam memunculkan negara maju dan berdaya saing. Kedua, perkembangan ini juga menunjukkan negara-negara sekitar mula memberikan perhatian tinggi ke atas merit untuk para pengemudi negara.
Keadaan ini jauh panggang dari api di negara tercinta ini. Sebahagian besar calon-calon yang berhasil menembusi koridor kuasa adakalanya gagal seasas perkara seperti pendidikan. Anomalinya, mereka yang gagal ini berjaya pula mempelopori kepimpinan tertinggi misalnya di cabang-cabang eksekutif seperti Menteri. Pada keadaan tertentu, mereka sendiri gagal memahami apakah yang sedang dilakukan, samar, tidak jelas dan bergantung kepada ‘penasihat’ sepenuhnya.
Atas itu, dasar-dasar yang terhasil tidak substantif, rentan dan adakalanya bersifat dangkal dan jenaka. Apabila golongan yang tiada merit duduk di posisi kritikal negara, ia menjelaskan dua keadaan, iaitu kemunduran dan kerencatan kemajuan. Hari ini, penilaian ‘layak’ atau tidak seseorang itu sering diletakkan bukan pada tempatnya. Umur, senioriti, pengaruh, penaung, kekayaan menjadi ukuran utama untuk melayakan individu dicalonkan dalam sistem kepartian. Lantas, ia disokong pula oleh sebahagian masyarakat yang masih menjadikan umur dan senioriti sebagai medium ukuran dalam memilih.
Pemikiran falasi ini akhirnya meminggirkan mereka yang berautoriti, berpendidikan, dan bermutu. Penilaian sebahagian besar masyarakat yang masih terperangkap dalam dimensi era ‘tradisional’ atau dari terma akademiknya dikenali sebagai neofeudal menjadi sebahagian faktornya.
Hal ini turut menjelaskan krisis dominasi kepemimpinan ‘ganyut’ di negara ini. Sementara pemimpin-pemimpin bermutu tinggi dari golongan muda-mudi sukar mendapat tempat yang adakalanya turut diafiliasikan dengan terma value-laden seperti ‘budak mentah’, ‘budak setahun jagung’ dan sewaktu dengannya. Namun, keadaan ini dapat difahami dari dua kerangka. Pertama, ia berlaku disebabkan budaya sistem kepartian politik di Malaysia yang gagal mengetengahkan sistem merit dalam
ekologinya.
Kedua, sistem kepercayaan masyarakat yang masih sempit dan terpaut pada kerangka feudal. Oleh itu, tidak hairan mengapa mereka yang bersijilkan latar pendidikan
palsu, lemah, tidak layak dan tidak berpendidikan masih mampu bernafas dan mendapat sambutan dalam kitaran politik negara. Bahkan pada tahap tertentu, mereka berjaya
menembusi kerusi eksekutif dan mengetuai proses pembuatan dasar.
Dahulukan pilihan rasional, tolak politik sentimen, simplistik dan sempit
Atas itu, untuk ‘menghumban’ mereka yang tiada merit dari kekuasaan, pengadaptasian nilai pilihan rasional menjadi pemberat utama dalam meminimumkan risiko ‘celaka’ seperti mendapat wakil rakyat ‘busuk’. Pengundi mestilah bertindak secara rasional dalam menentukan siapakah yang layak untuk diangkat menjadi calon. Satu kaedahnya adalah melalui penilaian kritikal terhadap mekanisma penawaran. Meskipun masyarakat Malaysia masih trauma dengan frasa ‘manifesto bukan kitab suci’, namun setidak-tidaknya manifesto mampu berfungsi sebagai panduan asas dalam membentuk rasionaliti dalam penilaian dan seterusnya memilih. Masyarakat perlu berkemahiran untuk membezakan antara manifesto populis dan manifesto realistik.
Manakala, politik sempit yang memainkan isu-isu sentimen seperti eksploitasi isu kaum dan agama wajar ditolak. Pembawaan politik sempit dan simplistik merupakan mekanisme termudah untuk mempengaruhi mereka yang rentan dari segi pemikirannya (gullible). Atas itu, kaedah simplistik ini ‘ditunggang’ secara meluas untuk membakar emosi pengundi yang akhirnya mengkesampingkan rasionaliti dalam memilih. Keadaan ini menjelaskan keberadaan golongan yang masih memilih berdasarkan lambang (identifikasi parti), faktor latar belakang (sosiologikal), jasa dan budi dan faktor sentimen.
Layak atau tidak seseorang calon itu untuk diangkat terletak pada kredibiliti, pendidikan, pemikiran, etika, dan semangat juangnya untuk bekerja demi rakyat dan negara. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu menjadi titik permulaan untuk memulihkan krisis merit kepimpinan negara melalui penambahan wakil rakyat yang berdaya saing, bersemangat, bekerja dan berkelayakan. Inilah waktunya untuk ‘drain the swamp’. Masa depan negara, kita tentukan.
Shah Mohd Akmal Abdul Halim
Pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)