KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, PN akan mengkaji pelbagai kemungkinan untuk proses menubuhkan kerajaan.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas itu berkata demikian ketika kenderaannya yang keluar dari kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini dikepung wakil media hari ini.
Ketika ditanya sama ada PN menubuhkan kerajaan dengan sokongan Barisan Nasional (BN), Ahli Parlimen Pasir Mas itu enggan mengulas lanjut.
“Kita akan lihat pelbagai kemungkinan, pelbagai senario sudah dikaji. Bagaimanapun, setakat ini confirm gabungan dan pembentukan kerajaan Persekutuan tidak melibatkan PH,” katanya.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan konvoinya meninggalkan kediaman Muhyiddin sekitar pukul 4.30 petang selepas mengadakan perbincangan.
Beliau yang menaiki kereta jenis BMW berwarna hitam sempat menurunkan cermin kenderaan dan melambai ke arah pengamal media sambil tersenyum namun tidak berkongsi sebarang perkembangan berhubung rundingan tersebut.
Sekitar lima minit kemudian, kenderaan membawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan disusuli oleh kereta membawa Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula meninggalkan perkarangan kediaman Muhyiddin.
Di sebelah pagi sekitar pukul 10.50 pagi Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir mengadakan pertemuan untuk membentuk kerajaan dengan Muhyiddin sebelum meninggalkannya kediaman yang sama sekitar pukul 12 tengahari tadi.
Kira-kira sejam kemudian delegasi politik dari Sabah pula muncul dengan konvoi 10 kenderaan memasuki kediaman Muhyiddin.- MalaysiaGazette