KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak bersabar dan bertenang dalam berdepan kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Baginda juga meredakan keadaan apabila berkata, pentadbiran negara ketika ini berjalan seperti biasa kerana kerajaan peralihan masih berfungsi.
“Harap bersabar dan ambil masa sikit. Kita kena banyak bersabar dan bertenang .
“Kerajaan caretaker masih ada dan berjalan seperti biasa.
“Saya tidak akan buat kenyataan dan ikutlah kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Negara dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pengamal media di luar Istana Negara, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah mencemar duli apabila
menunjukkan keprihatinan baginda kepada petugas media dengan menyerahkan bungkusan makanan kepada petugas media yang membuat liputan berita di luar pintu dua Istana Negara.
“Dah makan belum ni? Makan apa? Jaga kesihatan semua,” katanya baginda penuh ramah.
Bermula semalam, pengamal media mula ‘berkampung’ di luar Istana Negara menerusi Pintu 2 bagi bersiap sedia dan menunggu sebarang pergerakan masuk ketua-ketua parti politik. – MalaysiaGazette