Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) berharap kerajaan baharu yang dinamakan perpaduan nasional dapat dibentuk secepat mungkin.

Pengarah Strateginya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembentukan kerajaan itu perlu disebabkan tiada gabungan parti yang mendapat kemenangan majoriti.

Semuanya, kata beliau, tidak beroleh jumlah majoriti mudah, apabila Pakatan Harapan (PH) hanya 82 kerusi, Perikatan Nasional (73) dan Barisan Nasional (BN) 30 kerusi.

“Disebabkan tiada gabungan yang mendapat kemenangan majoriti untuk membentuk kerajaan, justeru terdapat keperluan mendesak untuk membina kerajaan perpaduan.

“Kita patut fokus kepada national reset agenda atau agenda menetapkan semula kedudukan negara di landasan sebenar,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Dr. Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor bagaimanapun berkata, menerusi kerajaan peraduan nasional itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memimpin.

“Dengan kata lain, Anwar adalah Perdana Menteri kerajaan ini dan pemimpin dari gabungan lain harus mengetepikan perbezaan partisan untuk objektif nasional lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette