KUANTAN – Seramai 10 keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu terpilih menerima tajaan perlindungan insurans rumah secara percuma oleh wakil rakyat kawasan di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata walaupun ada yang menyedari keperluan perlindungan tersebut namun tidak semua tahu kepentingan dan mempunyai kemampuan memilikinya.

Ujarnya sejak kebelakangan ini, beberapa kebakaran telah berlaku di Kuantan, menyebabkan kerugian besar kepada banyak keluarga.

Namun katanya apa yang lebih membimbangkan apabila masih ada segelintir masyarakat mempunyai kesedaran yang agak rendah terhadap insurans rumah.

“Insurans ini akan memberi jumlah yang diinsuranskan sehingga RM60,000, meliputi pelbagai risiko yang dihadapi oleh rumah-rumah tersebut, termasuk bencana alam seperti ribut dan kebakaran, dengan tujuan memberikan perlindungan kewangan kepada mereka.

“Insurans rumah adalah langkah perlindungan jangka panjang yang perlu dipertimbangkan oleh setiap keluarga.

“Namun kebanyakan orang memilih tidak lagi memperbaharui insurans rumah selepas menyelesaikan bayaran pinjaman rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya apabila bencana berlaku, keluarga yang tidak mempunyai insurans sering kali terjerumus dalam kesulitan kewangan yang serius.

Chung Kuang berkata  ramai keluarga berpendapatan rendah terpaksa meninggalkan insurans rumah disebabkan tekanan kewangan, atau mereka mungkin kurang faham tentang jenis insurans dan kepentingannya.

Oleh itu, beliau berharap sumbangan tersebut bukan sahaja dapat membantu keluarga yang menerima manfaat secara langsung tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan insurans rumah.

“Saya ingin menekankan bahawa insurans bukanlah perbelanjaan yang boleh diabaikan, tetapi adalah langkah yang efektif untuk melindungi keluarga daripada risiko yang tidak dijangka.

“Bencana seperti kebakaran dan ribut adalah sesuatu yang tidak dapat diramalkan,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang.

Beliau berharap dengan inisiatif penajaan ini, masyarakat dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap insurans rumah dan menggalakkan lebih ramai orang mengambil langkah-langkah perlindungan yang sesuai untuk mengelakkan kesulitan ketika berhadapan dengan bencana.

Selain daripada menyediakan insurans, pihaknya  juga merancang untuk bekerjasama dengan pihak yang berkenaan pada masa akan datang bagi menganjurkan taklimat ataupun ceramah dalam komuniti.

Ini sekali gus dapat memperkenalkan kepada orang ramai cara memilih pelan insurans yang sesuai serta proses tuntutan insurans, supaya setiap keluarga mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk melindungi harta mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast