SINGAPURA – Ekonomi Singapura berkembang 4.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2022, lebih rendah berbanding pertumbuhan 4.5 peratus pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Dalam laporan ‘Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2022’ yang dikeluarkan hari ini, MTI berkata unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 untuk republik itu telah mengecil kepada sekitar 3.5 peratus, daripada 3.0-4.0 peratus sebelum ini.
“Ini selepas mengambil kira prestasi ekonomi Singapura dalam tiga suku pertama tahun ini, serta perkembangan terkini luaran dan domestik,” katanya.
Kementerian itu turut mengunjurkan ekonomi Singapura berkembang sebanyak 0.5-2.5 peratus pada 2023.
Sementara itu, meninjau prospek menjelang 2023, MTI berkata kadar pertumbuhan KDNK dalam kebanyakan ekonomi utama dijangka terus menyederhana daripada paras 2022, dengan kelembapan ketara diunjurkan di Amerika Syarikat dan Zon Euro.
Di Asia pula, MTI menyatakan pertumbuhan China diunjurkan meningkat daripada asas yang rendah tetapi kekal lembap kerana dasar sifar COVID negara itu dijangka terus mengekang penggunaan isi rumah.
Dalam pada itu, pertumbuhan KDNK dalam ekonomi Asia Tenggara – Malaysia dan Indonesia dijangka menyederhana di tengah-tengah permintaan yang lebih lemah untuk eksport barangan mereka, walaupun pemulihan berterusan dalam permintaan domestik dan pelancongan akan memberikan sedikit sokongan, tambah kementerian itu.
Pada masa yang sama, ketidaktentuan yang ketara dan risiko penurunan dalam ekonomi global akan terus kekal, katanya.
Berdasarkan ini, pertumbuhan sektor-sektor berorientasikan luar di Singapura dijangka lemah seiring dengan kemerosotan dalam permintaan luaran.
Sebagai contoh, segmen semikonduktor kluster elektronik diunjurkan terjejas disebabkan oleh kejatuhan dalam permintaan global bagi semikonduktor.
Manakala segmen jentera dan sistem bagi kluster kejuruteraan ketepatan pula diramalkan akan terjejas oleh pengurangan perbelanjaan modal dalam kalangan pengeluar semikonduktor di tengah-tengah situasi permintaan yang lemah,
Sebaliknya, prospek pertumbuhan beberapa sektor kekal positif, terutamanya sektor penerbangan dan berkaitan pelancongan kerana pemulihan berterusan dalam perjalanan udara dan ketibaan pelawat antarabangsa akan menyokong pengembangan sektor-sektor seperti pengangkutan udara, penginapan, hiburan dan rekreasi. – BERNAMA