KUALA LUMPUR – Wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hari ini.
Menurut sumber yang dipetik portal MalaysiaKini, seramai lima orang wakil akan mengadap Tuanku.
Mereka ialah Datuk Seri Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Aaron Ago Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Dalam PRU15, GPS menang 22 kerusi Parlimen dengan PBB meraih 14 kerusi, disusuli PRS (5), SUPP (2) dan Parti Demokratik Progresif (2).
Sehari selepas PRU, GPS menerusi pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, gabungan itu bersetuju untuk bergabung dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Namun, dalam kenyataan semalam, GPS berkata, ia menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan mengenai calon Perdana Menteri, selepas Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Tiong King Sing – salah satu parti komponen GPS berkata, gabungan itu yang mempunyai 22 kerusi Parlimen mahu menunggu penjajaran politik PN diselesaikan sebelum gabungan itu membuat keputusan.
“Katakanlah BN tidak bekerjasama dengan PN, PN tidak akan dapat membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan GPS. Mereka ada masalah, kita biarkan mereka selesaikan dulu sesama sendiri,” kata Tiong. – MalaysiaGazette