Logo UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO akan mengadakan mesyuarat khas malam ini dipercayai ada kaitan dengan penangguhan pembentukan Kerajaan Persekutuan sudah empat hari Pilihan Raya Umum Ke-15 selesai.

Menurut satu jemputan kepada media, mesyuarat itu akan diadakan jam 8 malam ini di Menara Dato’ Onn.

“Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang akan dipengerusikan Presiden akan diadakan pada jam 8 malam,” demikian menurut jemputan berkenaan.

Surat itu dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mengadakan dua mesyuarat di menara tersebut iaitu Dewan Tertinggi BN dan mesyuarat 30 ahli-ahli Parlimen BN.

Mesyuarat berkenaan dipercayai diteruskan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar 30 ahli Parlimen BN mengadap baginda, pagi ini. – MalaysiaGazette