GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang sedia mengadakan perbincangan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dilakukan serentak dengan Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut perlembagaan, DUN Pulau Pinang akan tamat pada 2 Ogos 2023 dan PRN perlu diadakan dalam 60 hari selepas itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, isu tersebut diserahkan kepada majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH) kerana ia juga melibatkan dua lagi negeri di bawah pentadbiran PH.

“Kita terbuka untuk rundingan jika semua negeri ini setuju, maka boleh diadakan pada tarikh yang sama. Tapi terpulang kepada PH dan PN (Perikatan Nasional) untuk tentukannya.

“Mesyuarat DUN pertama diadakan pada 3 Ogos 2018, justeru jangka masa lima tahun itu dikira bermula hari pertama sidang bermula sehingga 2 Ogos 2023.

“Jika DUN tidak dibubarkan dalam tempoh itu, maka ia akan terbubar dengan sendiri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan tentukan tarikh bagi pilihan raya negeri dalam masa 60 hari.

“Namun bagi PH, saya akan bawa kepada majlis pimpinan PH untuk menimbangkan tempoh yang sesuai iaitu mungkin pada awal Mei, Jun atau Julai,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Presiden PH mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain tiga negeri itu, tiga negeri di bawah pentadbiran Pas turut tidak membubarkan DUN iaitu Kelantan, Terengganu, dan Kedah. – MalaysiaGazette