KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjuang terlalu lama untuk mendapat jawatan itu dan akhirnya beliau dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan juga telah membolehkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilantik memimpin negara ini.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi BN Selangor menjelaskan, UMNO dan Barisan Nasioan (BN) akur dengan titah Agong di mana dalam keadaan BN yang telah ditolak oleh rakyat apabila memenangi kerusi terendah dalam sejarah parti itu.
“Ini adalah kehendak rakyat dan kami di BN dan juga Ketua UMNO Bahagian yang kalah bertanding perlu akur.
“Kami yakin dengan adanya Kerajaan Perpaduan di negara dan kita percaya negara akan kembali seperti kemuncaknya sebelum PRU14,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media sebelum mesyuarat Ketua UMNO Bahagian di sini hari ini.
Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 apabila diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.
Mengulas ramalan peranan BN dalam Kerajaan Perpaduan, Jamal yakin PH dan BN mempunyai pengalaman masing-masing mentadbir negara ini.
“PH ada pengalaman selepas PRU14 dan akhirnya ditolak oleh rakyat selepas 22 bulan memerintah.
“BN yang sudah lama memerintah dan juga ditolak oleh rakyat.
“Sudah pasti pengalaman ini dijadikan sebagai satu kebaikan untuk tadbir negara.
“Yang mustahaknya negara perlu ditadbir dengan baik kerana penggal ini kerajaan tidak stabil menyebabkan rakyat dan negara rugi.
“Banyak pembangunan tidak dapat dilaksanakan apabila pelabur-pelabur asing juga tidak percaya ke Malaysia.
“Hari ini kita lihat nilai ringgit Malaysia jatuh di pasaran saham jatuh dan selepas hari ini, semuanya akan kembali pulih dan harap rakyat dapat terima Anwar dengan keputusan yang dibuat.
“Kita tunggu bagaimana liman tahun petadbiran Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH ini,” katanya. – MalaysiaGazette