Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk menyertai Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan semalam supaya GPS mempertimbangkan untuk bersama-sama gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan perpaduan itu.

“Kita akurlah. Anda kena ingat, kita adalah (negara) raja berperlembagaan dan (dalam) kita punya Rukun Negara, kita mesti taat (kesetiaan) kepada raja,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan GPS di sini hari ini.

Sementara itu beliau yang juga Premier Sarawak menyerahkan kepada Anwar untuk menentukan jumlah wakil GPS yang akan menyertai kabinet memandangkan perkara itu merupakan prerogatif beliau (Anwar) sebagai Perdana Menteri.

Ditanya jika Anwar akan datang ke Sarawak, kunjungan pertama sebagai Perdana Menteri dalam masa terdekat ini, Abang Johari berkata: “Sik payahlah saya madah dengan kitak orang. Ya antara kamek dengan nya lah (Tak payahlah saya maklumkan kepada anda semua. Itu antara saya dan dia (Anwar),” .- BERNAMA