Seramai 198 pendatang asing ditahan dalam 'Op Sapu' di rumah kongsi di Gebeng, Kuantan, malam tadi.

KUANTAN – Seramai 198 orang pendatang asing ditahan dalam ‘Op Sapu’ yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang dalam serbuan di sebuah rumah kongsi di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, kesemua tahanan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kini ditahan Depot Imigresen Kemayan bagi siasatan lanjut.

Operasi empat jam yang diketuai Muhammad Hatta dengan 49 anggota itu bermula jam 3.30 pagi.

Suspek yang ditahan terdiri daripada 127 orang lelaki termasuk seorang bayi warganegara Myanmar, 37 orang wanita Myanmar, 21 orang lelaki China, lapan orang wanita China, dua  orang lelaki Bangladesh, dua orang lelaki Pakistan dan seorang lelaki India.

Antara kesalahan yang dilakukan tertakluk di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa Pas atau Permit yang sah.

Selain itu, sekumpulan warga asing itu turut terbabit di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) iaitu telah tinggal lebih masa di Negara ini.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini, Muhammad Hatta berkata, asil siasatan awal mendapati penempatan tersebut dijadikan tempat tinggal pendatang asing yang disyaki bekerja di kilang-kilang berhampiran.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan majikan yang bertanggungjawab melindungi mereka dan tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.

Sepanjang tahun 2022, JIM Pahang telah menahan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap 73 orang individu kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.

JIM menasihati orang ramai supaya tidak melindungi PATI dan menyeru orang ramai tampil menyalurkan maklumat kepada imigresen sekiranya mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang undang. – MalaysiaGazette