KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital bagi mendapatkan maklum balas secara bertulis susulan pengeluaran Kertas Perbincangan pada awal tahun 2022.
Draf Dedahan ini menggariskan rangka kerja yang dicadangkan untuk memudahkan penyertaan penanggung insurans dan pengendali takaful digital ( DITO) Malaysia yang boleh menawarkan cadangan nilai yang kukuh bagi mencapai hasil yang berikut:
• Rangkuman – Meningkatkan daya tahan kewangan pengguna yang tidak mendapat perlindungan insurans/takaful dan pengguna yang kurang mendapat perlindungan insurans/takaful pada masa ini;
• Persaingan – Menyediakan produk yang inovatif bagi memenuhi keperluan perlindungan yang pelbagai; dan
• Kecekapan – Memberikan pengalaman pengguna yang lebih mudah dan lancar kepada pengguna dengan penjimatan kos yang lebih besar.
DITO dijangka menjalankan perniagaan insurans atau takaful secara digital atau elektronik sepenuhnya (atau hampir sepenuhnya), seterusnya dijangka menggalakkan model perniagaan dan operasi baharu bagi memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai melalui penawaran pilihan produk yang lebih banyak serta kualiti penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap.
Bagi memajukan inovasi-inovasi ini, BNM akan memastikan tumpuan yang kukuh terus diberikan pada pengurusan risiko yang mantap dan perlindungan kepentingan pengguna.
BNM berkata, Draf Dedahan ini menggariskan prosedur permohonan dan pelesenan serta keperluan khusus berkaitan dengan model perniagaan dan saluran pengedaran yang layak untuk DITO bertujuan untuk menggalakkan operasi perniagaan yang mampan dan pada masa yang sama memberikan nilai kepada pengguna.
DITO perlu mematuhi keperluan sedia ada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Keperluan ini termasuk piawaian mengenai kehematan, amalan perniagaan dan langkah-langkah pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Sebagai sebahagian daripada proses permohonan lesen, BNM akan menghendaki pemohon untuk mengemukakan rancangan perniagaan yang komprehensif bagi tempoh masa lima tahun yang antara lain termasuk langkah-langkah yang dirancang untuk menguruskan risiko teknologi dan risiko siber secara berkesan apabila menyampaikan produk dan perkhidmatannya.
Selaras dengan keperluan yang diterima pakai oleh institusi-institusi kewangan lain di bawah dokumen dasar Risk Management in Technology, pemohon juga perlu menunjukkan keupayaannya untuk melindungi data pengguna dan mengesahkan transaksi kewangan bagi mengurangkan risiko penipuan/siber.
Dengan bank digital, DITO berlesen akan melalui Fasa Asas yang masa sepanjang tempoh ini, DITO akan tertakluk pada keperluan modal berbayar minimum (minimum paid-up capital) yang lebih rendah serta fleksibiliti pengawalseliaan yang berkadar dan setara dengan peringkat awal operasi mereka.
DITO akan berada dalam Fasa Asas untuk tempoh yang tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang daripada tiga tahun.
Pada penghujung Fasa Asas, DITO yang tidak berjaya menunjukkan prospek yang meyakinkan untuk mencapai daya maju jangka panjang atau kepatuhan kepada piawaian kehematan lebih tinggi yang konsisten dengan piawaian yang terpakai pada semua penanggung insurans dan pengendali takaful sedia ada perlu melaksanakan pelan keluar mengikut syarat-syarat yang digariskan dalam Draf Dedahan ini.
BNM berhasrat untuk memuktamadkan Dokumen Dasar dan mempelawa permohonan lesen DITO pada tahun 2023. Sebanyak sehingga lima lesen akan diberikan kepada pemohon yang memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.
Maklum balas bagi Draf Dedahan ini boleh termasuk penjelasan atau keterangan serta cadangan alternatif. BNM mengalu-alukan maklum balas secara bertulis yang disokong oleh rasional yang jelas dan perlu dihantar sebelum 28 April 2023 melalui [email protected] – MalaysiaGazette