SEGALANYA bermula dengan kuasa maaf. Pada garis simetri umum, menyerang, membuli, mengherdik, mengutuk dan menghukum dilihat berkuasa. Seperti peribahasa Inggeris yang dijumpai dalam pelbagai versi, saya majukan satu daripadanya ”The best defense is a good offense”. Ya. Menyerang boleh merobohkan sekatan tampak, tetapi tidak pada pihak halus dan seni semithal ego, dendam, kecewa dan kemarahan terpendam. Itulah kuasa maaf. Ia perbuatan baik yang dianjurkan Islam sehingga dirakamkan dalam al-Quran: خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. (Surah al-A’raf, 199)
Kita kembali kepada maksud tulisan ini. Pada 24 November lepas, tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sanggup hadir ke Kuching mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg telah merubah jalan sukar menghadapi ketidaktentuan iklim politik negara. Hampir seminggu Parlimen tergantung, perlantikan Perdana Menteri bertemu jalan buntu dengan tiada komponen gabungan yang dapat memajukan jumlah sokongan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Pelbagai tawar menawar, atur mengatur berlangsung sepanjang itu.
PH sebagai blok terbesar dengan jumlah 82 kerusi dilihat berdepan cabaran mendapatkan baki sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mencukupkan majoriti mudah. BN mengambil keputusan sejak daripada awal, mereka akan menyertai mana-mana gabungan secara en bloc, bukan serpihan. Ia telah disuratkan dalam dokumen perjanjian yang ditandatangan calon sebelum PRU.
Beberapa kenyataan dilihat membelakangi yang cuba menggoncang ikatan perundangan ini. Setengah mereka lebih cenderung kepada PN, dengan lebih 10 orang ahli Parlimen BN telah menandatangani akuan bersumpah (SD). Manakala, keputusan mesyuarat rasmi MKT BN mengambil sikap berkecuali – menjadi pembangkang yang berkesan. Namun, bagaimana untuk menjadi pembangkang jika tiada kerajaan? Titah Yang di-Pertuan Agong
menjadi isyarat bahawa kerajaan perpaduan adalah penyelesaian.
Anwar Ibrahim bersedia, kerjasama rentas parti. Muhyiddin Yaasin berkeras tidak. Melihatkan ego Pengerusi PN ini yang setinggi tembok nampaknya jalan buntu akan berpanjangan. Terowong gelap belum bertemu cahaya keluar. Sehingga BN pada malam sebelumnya membuat keputusan menyertai kerajaan dengan tidak bersama PN.
Manakala, maaf pada pagi keesokannya oleh dua orang pemimpin tertinggi DAP – Anthony Loke dan Lim Guan Eng telah meruntuhkan segala sendi ego dan kesombongan yang melekat pada jantung hati manusia tidak kira setebal apa pakaian luar membaluti. Pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas melalui musyawarah bersama Majlis Raja-raja yang memberi perkenan perlantikan Datuk Seri Anwar membawa kepada taqdir baharu bagi Malaysia.
DAP harus meneruskan permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia. Dengan atau tanpa alasan apa sekalipun. Tembok keegoan akan runtuh sebentar nanti. Salam dan berjabat tangan akan membunuh ribuan duri-duri kecurigaan. Berjabatlah, lembaran baru bakal bermula.
Keterujaan rakyat yang celik akan tambah tercerah. Sengketa selama ini bukan untuk mengukur tinggi rendahnya darjah sesuatu kaum atau tebal tipisnya darjah iman. Sheikh Rashid Ghannouhsi menyebutkan bahawa politik adalah ruang kosong (faraghat), ia bukan perkara usul (pokok) yang mana para pemilih akan gelincir antara iman dan kufur. Ia perkara ikhtiyari. Masyarakat merdeka memilih tawaran mana dan mutu kerja bagaimana yang diyakini dapat melangsungkan masa depan mereka menuju matlamat yang dipercaya. Kepada penulis, tawaran politik tentang kebolehan, wibawa, kekuatan dan amanah (al-Qawwiy al-Amin) siapa dalam kalangan yang paling autoritatif untuk memikul denyut suara rakyat.
Teruslah meminta maaf. DAP telah memulakannya. UMNO yang menjadi pentakrif kepada Barisan Nasional, parti tonggak negara sejak sebelum merdeka sebentar lagi akan menjalankan fungsi kerajaan dengan kerjasama dengan DAP yang kedua-duanya bermatian menentang selama ini. PKR, AMANAH daripada blok PH akan meniti jambatan yang dihulurkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), blok yang mereka tentangi. Maaf akan menengahi hubungan.
Memang tiada musuh dan kawan yang pernah kekal dalam politik. Ia senandung yang masyhur dalam kalangan para ahli fikir siyasah. Politik bukan sangat tentang prinsip, selagi ada kepentingan besar terjaga, prinsip kecil dikorbankan sementara tidak mengapa. Ia tidak akan dibunuh, cuma ditidurkan untuk kelak dijagakan kembali bila musimnya perkawanan bertukar kepada perlawanan. Itulah politik, seni yang gagal difahami oleh para penyokong.
Mereka di bawah mengimani parti politik itu demikian kudus, laksana ialah parti yang diturunkan daripada langit. Setengahnya memperagamakan parti, menganggap parti yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai suci. Doktrin ini ditanam begitu lama dan sekarang membuah dengan begitu lebatnya. Fatwa politik haram dan halal mengundi satu parti ditukar ganti dengan syurga neraka. Seolah bagi mereka hanya dengan memangkah, mereka telah menswastakan nasib akhirat mereka kepada parti yang akan menentukan pintu mana akan dimasuki sebagai pengakhiran hidup mereka.
Pas dahulu pernah bersama DAP. Dua parti yang kompas moralnya jauh berbeza. Satu bermatlamat negara Islam, satu dengan dasar sekular – sosialis. Mereka pernah duduk dan bermimpi ke Putrajaya di bantal yang sama. Tentang bagaimana hal itu boleh berlaku – dengan berjabat. Runtuh segala yang tidak boleh diruntuhkan oleh jentolak atau bom atom sekalipun.
Muhyiddin ketika terbuang daripada kapal UMNO – BN pada tahun 2015 dalam siri-siri jelajahnya dengan lancang dan bernada yakin menyebutkan bahawa Pas adalah parti ajaran sesat, kini mereka bahkan terpaling akrab. Ya. Tiada fatwa yang kekal. Jangan diperdengarkan apalagi diyakini kata-kata mereka, hatta orang politik juga tidak percaya kepada kata-kata mereka. Bermohon maaflah sesama, bahawa itulah yang perlu ditelan tiada yang murni dan suci
dalam ranah ini.
2018 dinamika politik Malaysia menyimbahkan warnanya yang elastik. Salam bersalam dan maaf daripada Tun Dr Mahathir Mohammad dan Anwar telah menghentikan perang selama 20 tahun. Hasilnya paduan daripada kedua-dua figura yang mewarnai sanggar politik nasional dan antarabangsa selama puluhan tahun ini berhasil meruntuhkan hegemoni UMNO – BN. Walaupun kelak pengkhianatan telah membawa negara ke lembah ketidaktentuan. Namun, ternyata maaf punyai tenaga dan kuasa.
Benteng sentimen perkauman dan agama telah menuju rapuh. Mereka yang masih berselindung dibaliknya teruskan hidup di bumbung dan dinding yang telah runtuh. Politik adalah medan pertarungan kebolehan dan wibawa, siapa dalam kalangan yang lebih berbakat dan layak mendapat tempat.
Janganlah kita bersembunyi di balik lalang yang kerap terhuyung hayang di bawa angin kepentingan melayang. Kita jalankan sahaja peranan sebagai rakyat yang mahu ke hadapan, melihat watan di urus oleh mereka yang benar-benar wibawa. Berikan peluang kepada Anwar dan kabinet campuran beliau beroperasi.
Daripada segi merit, Anwar jauh meletakkan kelasnya tersendiri. Berikan ruang kepada beliau. Seorang pemaaf yang telah memaafkan para penganiaya. Kita ini tidak kira bagaimana ‘izzah diri ditinggikan, dikalungkan pelbagai gelar kehormatan berupa tuan guru, Tan Sri, Tun atau apa sahajapun, meminta maaf tidaklah menggugurkan haybah diri, malah tambah meningkatkan darjah peribadi kepada maqam orang-orang yang ditinggikan.
Sabda Rasulullah SAW: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya." (Riwayat Muslim).
Maaf. Semoga Malaysia saling memaafi.
Muhamad Hanapi Jamaludin
Pengasas Benevolent Malaysia