Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka mempamerkan trend yang lebih tinggi minggu depan, pulih daripada kegiatan pengambilan untung pada hari Jumaat dan disokong oleh selera risiko yang lebih baik terutamanya daripada pembeli asing.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berpendapat sentimen pasaran akan kekal positif minggu depan walaupun terdapatnya aktiviti pengambilan untung pada hari Jumaat, dengan FBM KLCI dijangka menembusi semula paras 1,500 tidak lama lagi.

Beliau mengunjurkan indeks penanda aras itu akan berada dalam julat antara 1,500 dan 1,530 untuk minggu depan, dengan permintaan disokong oleh pembelian daripada pelabur asing.

“Mereka (pelabur asing) telah menjual sejak beberapa minggu lalu, tetapi kembali ke pasaran pada Khamis dengan belian bersih sebanyak RM300 juta.

“Kami menasihatkan pelabur untuk memberi tumpuan kepada saham bermodal besar seperti bank dan syarikat telekomunikasi, dan saham yang dipacu dalam negeri termasuk pembinaan dan amanah pelaburan hartanah runcit,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi peniaga berkata peserta pasaran akan memantau dengan teliti perkembangan barisan Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Anwar Ibrahim serta  Bajet 2023.

Bagi minggu yang baru berakhir, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam dagangan tidak menentu berikutan Pilihan Raya Umum ke-15.

Pasaran bagaimanapun melantun dan bergerak cergas pada Khamis selepas segala kebuntuan berkisar politik tempatan selesai apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Selain itu, perkembangan luaran yang positif turut menyemarakkan selera risiko pelabur.

Indek utama FBM KLCI melonjak ke paras tertinggi hampir tiga bulan pada 1,501.88 pada Khamis, sebelum susut keesokan harinya disebabkan kegiatan pengambilan untung.

Berdasarkan pergerakan Jumaat-ke-Khamis, indeks utama meningkat 37.22 mata kepada 1,486.54 pada Jumaat, daripada 1,449.32 pada Khamis lepas. Pasaran telah ditutup pada Jumaat minggu lepas untuk membolehkan rakyat mengundi pada PRU15.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas peroleh 297.55 mata untuk mencatatkan paras 10,576.79, Indeks FBMT 100 meraih 288.88 mata menjadi 10,299.69, FBM 70 melonjak 478.85 mata kepada 12,638.36, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 288.85 mata kepada 10,687.62 manakala FBM ACE meningkat 276.72 mata kepada 5,191.64.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 6.76 mata kepada 185.36, Indeks Perladangan memperoleh 63.08 mata kepada 6,817.15, dan Indeks Tenaga menambah 35.76 mata kepada 759.09.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 523.36 mata kepada 16,699.16 di tengah-tengah berita positif bahawa pegawai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bersetuju untuk memperlahankan rentak kenaikan kadar faedah.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 22.82 bilion unit bernilai RM13.19 bilion daripada 10.53 bilion unit bernilai RM6.81 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turut bertambah dengan ketara kepada 17.84 bilion saham bernilai RM11.92 bilion berbanding 7.15 bilion saham minggu lepas yang bernilai RM5.93 bilion.

Sementara itu, jumlah dagangan waran mengembang kepada 1.84 bilion unit bernilai RM249.65 juta daripada 1.57 bilion unit bernilai RM289.54 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula mengukuh kepada 2.84 bilion saham bernilai RM1.02 bilion daripada 1.80 bilion saham bernilai RM585.13 juta. – BERNAMA