Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunjukkan buku Belanjawan 2023 bertemakan Memacu Terengganu Berdaya Tahan sebelum pembentangan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hari ini mengumumkan Bajet 2023 merangkumi RM1.991 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus; RM500 juta Perbelanjaan Pembangunan dan RM30 juta Perbelanjaan Bekalan Air.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan bajet bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ itu berkata kerajaan negeri menggariskan tiga teras sebagai pendekatan pelaksanaan Bajet 2023 iaitu Menyantuni Rakyat, Memacu Ekonomi dan Melestarikan Pembangunan.

Katanya di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM93.13 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.897 bilion bagi perbelanjaan bekalan yang merangkumi RM271.65 juta untuk emolumen; RM249.17 juta (perkhidmatan dan bekalan); RM25.94 juta (aset); RM1.35 bilion (pemberian dan kenaan bayaran tetap); dan RM1 juta (lain-lain).

“Di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM500 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM250 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi; RM200 juta bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM400 juta bagi program-program pelbagai perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut beliau di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM417.73 juta (79 peratus) diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam termasuk bekalan air, pembangunan bandar dan luar bandar, sukan dan perumahan.

Bagi sektor pentadbiran pula katanya, sebanyak RM85.04 juta (16 peratus) diperuntukkan merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka; manakala RM27.23 juta (lima peratus) untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri mikro, kecil dan sederhana.

Dalam pada itu katanya Kerajaan Negeri menganggarkan sejumlah RM1.81 bilion iaitu sebanyak RM65.17 juta daripada hasil cukai, RM135.59 juta daripada hasil bukan cukai termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.

“Walaupun belanjawan ini dirangka berasaskan harga minyak mentah Brent yang dijangka mencatat purata lebih rendah sebanyak US$90 setong pada 2023 berbanding US$100 setong pada tahun ini, namun keputusan mengembangkan Belanjawan 2023 ini melebihi 20 peratus berbanding 2022 dibuat bagi menjamin ekonomi di negeri ini dapat terus tumbuh secara mampan dan tahap sosioekonomi penduduk bertambah baik menerusi dasar, projek dan program yang akan dilaksanakan,” katanya.

Katanya antara yang akan dilaksanakan adalah kadar baharu sumbangan tabung pendidikan menerusi Skim Permata Sejahtera dinaikkan iaitu RM200 bagi anak pertama dan kedua, RM300 bagi anak ketiga hingga kelima manakala RM500 bagi anak keenam hingga ke 10.

Ahmad Samsuri juga mengumumkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM110 sebagai ‘Pitih Belanja’ kepada lebih 86,000 murid sekolah rendah dan menengah yang layak; bantuan bernilai RM100 menerusi Baucar Pelajar Sejahtera untuk semua calon Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia bagi pembelian buku dan alat tulis.

Kerajaan negeri juga menyediakan dana berjumlah RM5 juta bagi Tabung Siswa Pelajar untuk pembiayaan yuran pengajian peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara bagi yang layak, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengumumkan pemberian Baucar Pakej Berpantang bernilai RM200 bagi penjagaan selepas bersalin kepada wanita yang baharu melahirkan anak dan ia dijangka memanfaatkan sekitar 5,000 wanita yang layak, serta pemberian Pencen Rakyat bernilai RM600 yang akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM15 juta kepada lebih 25,000 penerima.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi meneruskan program ‘Home Manager’ yang menyediakan peluang pekerjaan untuk kaum wanita dan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM200 kepada sekitar 25,000 ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, Ahmad Samsuri turut mengumumkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM150 kepada kira-kira 2,600 pengawal keselamatan; lebih 20,000 petani, penternak dan nelayan; serta lebih 1,500 pekerja industri pelancongan di seluruh negeri yang layak bagi menyokong sara hidup mereka.

Golongan belia dan mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan rendah, pemberian tunai ‘one-off’ bernilai turut diberikan yang dijangka akan memanfaatkan lebih 160,000 penerima.

“Selain itu, pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM300 bagi membantu isi rumah miskin juga akan diteruskan melibatkan semua kaum; Melayu, Cina dan India untuk perayaan penting masing-masing. Dianggarkan lebih 170,000 isi rumah akan menerima manfaat daripada bantuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM200 kepada 200 imam dan bilal di bawah Skim Mubaligh; dan menaikkan elaun hampir 1,000 imam dan bilal di negeri ini yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sebanyak RM100 sebulan.- BERNAMA