KUALA LUMPUR – Menjelang tahun 2023, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) komited untuk terus memperkukuhkan sumber manusia sebagai persediaan berlakunya kemelesetan ekonomi global.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, berdeoan dengan risiko berkenaan, pihaknya mahu memupuk kemahiran tenaga pekerja agar sentiasa relevan dengan keperluan pasaran.
“Untuk itu, kami akan terus menumpukan usaha kami untuk mengekalkan dan memupuk bakat tempatan.
“Pada masa yang sama, HRD Corp juga akan mengukuhkan inisiatif sedia ada dan memperkenalkan inisiatif baharu yang dapat memenuhi permintaan realiti ekonomi baharu kami,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2022 hari ini.
Turut hadir, Ketua Eksekutif perbadanan itu, Datuk Shahul Dawood.
Menurut Jamil, sepanjang dua tahun, HRD Corp mengembangkan komitmennya untuk membantu lebih ramai pekerja dan industri dalam negara menerusi penganjuran pelbagai program latihan semula.
“Inisiatif yang kami telah anjurkan termasuklah Penjana HRDF yang diperkenalkan pada 2020 untuk bantu rakyat yang hilang pekerjaan ketika pandemik.
“Selain itu ada HRD Corp Placement Centre yang dirasmikan pada 2021 untuk penganggur dan graduan cari kerja yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran masing-masing. Turut diadakan e-LATIH,” katanya lagi.
Beliau berkata, selain membantu memperkasa sumber manusia industri pekerjaan termasuklah sektor swasta perlu dibantu menerusi jalinan kerjasama latihan.
“Di sebalik tenaga pekerja profesional ada juga sektor yang menjalankan peranan untuk memastikan jurang pengangguran semakin berkurang,” tambah Jamil.
Justeru itu, beliau berharap persidangan yang bakal berlangsung selama dua hari ini akan dapat memberi impak positif bukan hanya modal insan pekerja tetapi industri secara keseluruhannya. -MalaysiaGazette