KUALA LUMPUR – Parti Putra mengesahkan telah menerima peletakan jawatan Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkuatkuasa 20 November lalu.
Serentak itu, biro politik parti itu mengadakan mesyuarat pada Jumaat lalu juga membuat sedikit pindaan dalam barisan kepimpinannya termasuk Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra.
Setiausaha Agungnya, Borhan Zakaria berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali pada 25 November turut mengesahkan peletakan jawatan Ketua Penerangan, Syed Abdul Razak Syed Long Al-Sagoff pada 29 Oktober lalu.
Katanya, ahli mesyuarat turut bersetuju sebulat suara melantik Mohamad Shahrulufti Mohamad Shariff sebagai Ketua Penerangan Putra yang baharu dan Ahmad Fakhri Abu Samah sebagai ADT.
“Ahmad Fakhri adalah seorang ahli Putra dari Negeri Sembilan yang juga merupakan peguam dan peguamcara.
“Biro Politik juga bersetuju melantik Datuk Asmawar Samat sebagai ADT dan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Selangor.
“Beliau adalah Ketua Putra Bahagian Sungai Besar dan mantan Ketua Penolong Setiausaha (Dewan Undangan Negeri & Protokol) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Borhan, Biro Politik sebelum ini telah melantik Dr. Zarawi Sulong sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Putra Terengganu dan beliau merupakan Ketua Bahagian Putra Marang.
“Pelantikan ini akan disahkan dalam Mesyuarat ADT Bil.10 yang akan diadakan pada 3 Disember ini.
“Bagi pelantikan Naib Presiden Putra (pemangku) yang baharu juga akan diputuskan pada tarikh berkenaan dalam mesyuarat bulanan ADT.
“Putra akan terus bergerak ke hadapan bersama pimpinan dan ahli yang cekal, berani dan ikhlas dalam mengalas perjuangan nasionalisma Melayu Islam yang penuh ranjau dan cabaran masa kini serta akan datang,” kata Borhan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: