Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz telah meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden Parti Putra dan ahli seumur hidup parti itu minggu lalu.

Beliau berbuat demikian kerana mahu menumpukan kepada perjuangan prinsip ‘rasis perlembagaan’ secara solo seperti mana dilakukannya sebelum menyertai parti itu.

“Saya telah menghantar surat makluman peletakan jawatan saya sebagai Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan ahli seumur hidup Putra kepada Setiausaha Agung Putra tiga hari sebelum hari mengundi PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Peletakan jawatan saya tersebut berkuatkuasa pada 20 November 2022 dan saya mahu fokus kembali memperjuangkan prinsip #RasisBerperlembagaan secara solo seperti mana yang saya telah lakukan sebelum menyertai Putra dahulu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Menurut Mohd Khairul yang lebih dikenali dengan panggilan Buzze Azam, beliau juga akan menlanjutkan siri kelas perlembagaan secara percuma setiap minggu dan pengumumannya akan dibuat dari semasa ke semasa melalui tiga akaun Facebooknya iaitu Azam Aziz , Buzze Azam dan page Buzze Azam Malaysia.

Katanya, perjuangan itu tidak tamat pada tarikh beliau meletakkan jawatan sebaliknya akan terus mengembang dan menyebarluaskan ilmu berkaitan Perlembagaan Persekutuan ke seluruh negara bergantung kepada sumber terhad yang ada.

Sebelum hari pengumuman calon, namanya disebut bakal calon Gerakan Tanah Air (GTA) dari Putra yang akan bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam.

Namun namanya tidak tersenarai dalam mana-mana kerusi dipertandingkan sebaliknya Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Muhammad Rafique Rashid Ali dari Pejuang sebagai calon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast