KUALA LUMPUR – Pelakon Ungku Ismail muncul dengan sebuah video memaklumkan keadaan terkini dramatis terkenal, Nad Zainal yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital sejak minggu lalu.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Ungku atau nama penuhnya Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz memberitahu, Nad kini menunjukkan perubahan positif walaupun kecil setiap hari.
“Perkembangan terkini Nad Zainal, setiap hari ada perubahan kecil yang positif walaupun sedikit demi sedikit.
Pelakon berusia 36 tahun itu turut memberitahu, Nad juga sudah mula memberi reaksi dan tindak balas seperti menggerakkan tangan serta menganggukkan kepalanya jika ditanya.
Pun begitu, pemilik nama lengkap Farah Nadia Zainal Abidin itu masih ditempatkan di dalam ICU kerana memerlukan pemantauan rapi oleh doktor.
“Nad masih lagi di dalam ICU. Bila di dalam ICU maksudnya keadaan Nad masih lagi kritikal. Kita mengharapkan tiub oksigen dicabut.
“Tapi kena pastikan paru-paru dia betul-betul okey. Selagi Nad masih bergantung dengan mesin oksigen, sejujurnya saya masih lagi tidak keruan. Apatah lagi ibu bapanya,” kata Ungku.
Dalam video tersebut juga, pelakon drama Cina Buta itu menjelaskan dirinya langsung tidak merajuk atau sentap selepas sebelum ini memberitahu tidak akan berkongsi lagi perkembangan Nad kerana dikatakan kecewa dengan kata-kata netizen.
Kata Ungku, dia tidak merajuk, sebaliknya cuba menggunakan akal fikiran apabila situasi menjadi semakin terpesong.
“Pertama, saya mahu jelaskan tentang ‘merajuk’ dan ‘sentap’. Tiada istilah merajuk sebab saya cuba menggunakan akal fikiran untuk kawal keadaan bila situasi terpesong ke arah yang salah.
“Saya minta berdoa, tapi orang lain sibuk tentang perkara lain. Saya minta penulisan fokus tentang keadaan Nad Zainal,” katanya.
Sementara itu, Ungku sekali lagi menasihati orang ramai supaya tidak berhenti mendoakan kesejahteraaan Nad agar dia segera sembuh seperti biasa.
Terdahulu, Ungku melahirkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak menyifatkan dirinya seolah-olah gelojoh bercerita tentang hubungan cintanya dengan Nad pada saat wanita itu sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta.
Kata Ungku, niatnya cuma satu iaitu untuk menyalurkan informasi tentang keadaan kesihatan terkini Nad, namun lain yang terjadi disebabkan sikap tidak bertanggungjawab beberapa pihak.
Sehubungan itu, dia membuat keputusan tidak lagi berkongsi apa-apa perkembangan terkini Nad atau apa sahaja dan meminta pihak yang mahu mengetahui tentang keadaan pelakon itu merujuk kepada sumber yang lain.
Minggu lalu, Nad yang juga ibu kepada dua cahaya mata dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri akibat pendarahan paru-paru dan diintubasi bagi merehatkannya.
Selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, Nad semakin menunjukkan perkembangan positif dan difahamkan sudah beberapa kali membuka mata. – MalaysiaGazette